PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Penduduk di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dinasihatkan berwaspada kerana Ribut Tropika Senyar yang boleh menyebabkan cuaca tidak menentu dijangka melanda berterusan bermula seawal tengah malam ini hingga Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika itu dikesan memasuki perairan Selat Melaka, sejak 3.30 petang tadi dan dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.
“Ribut Tropika Senyar dikesan berada pada Latitud 3.6 darjah Utara dan Longitud 100 darjah Timur, iaitu kira-kira 94 kilometer ke Timur Laut Tanjung Balai, Indonesia dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan sembilan kilometer (km) sejam dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 km sejam.
“Kami menjangkakan ribut akan melanda di sempadan Perak, Selangor dan sebahagian Pahang bermula tengah malam ini atau awal pagi esok. Sistem cuaca Senyar ini diameternya lebih kurang 100 kilometer dan ia akan ke bergerak menuju ke Laut China Selatan.
“Justeru kawasan lain yang akan terkesan dengan fenomena ini termasuk Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata Semenanjung Malaysia dijangka menerima julat taburan hujan sebanyak 200 milimeter (mm) hingga 300 mm bagi tempoh 24 jam akan datang sehingga Sabtu.
“Julat ini lebih rendah berbanding di Aceh, Indonesia yang mengalami ribut tropika sama dan merekodkan 600 mm hujan dalam tempoh kurang 36 jam.
“Jadi (Ribut Tropika Senyar) yang akan datang ke negara kita bukan pada kadar intensiti terkuat kerana sudah sedikit melemah,” katanya.
Mohd Hisham berkata Malaysia pernah dilanda ribut tropika dua kali, iaitu Ribut Tropika Greg di barat Sabah pada 26 Dis 1996 dan Ribut Tropika Vamei di selatan Semenanjung pada 26 Dis 2001.
“Malaysia berada di luar kawasan laluan ribut tropika kerana kedudukannya di garisan khatulistiwa.
“Kalau masuk kejadian ini, ia kali ketiga. Ia berlaku di Selat Melaka yang tidak pernah terjadi sebelum ini, jadi mendapat perhatian penyelidik seluruh dunia,” katanya.
Mohd Hisham berkata Ribut Tropika Senyar terjadi kerana terdapat taufan yang sangat kuat sedang terbentuk di Laut China Selatan dan sistem itu mempengaruhi cuaca di seluruh rantau.
“Apabila taufan besar berlaku di kawasan Laut China Selatan, ia menarik angin dan lembapan dari kawasan sekeliling. Pada masa sama, terdapat sistem tekanan rendah di selatan Thailand.
“Dua sistem ini berinteraksi dan menyebabkan cuaca menjadi lebih tidak stabil lalu membantu pembentukan Ribut Tropika Senyar di perairan Selat Melaka buat kali pertama,” katanya.
Mohd Hisham berkata MetMalaysia telah mengeluarkan nasihat berkaitan ribut itu sejak Ahad lepas apabila ia memasuki kawasan pemantauannya.
MetMalaysia akan mengemas kini maklumat setiap tiga jam dan menasihatkan orang ramai sentiasa peka dengan amaran cuaca dikeluarkan melalui laman sesawang, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi atau boleh menghubungi talian hotline 1-300-22-1638.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial