KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Webull Malaysia, anak syarikat Webull Corporation telah mengumumkan kerjasama strategik dengan AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital) untuk melancarkan Moneybull, penyelesaian pengurusan tunai yang membolehkan pelabur memaksimumkan pulangan atas lebihan wang mereka atau yang tidak dilaburkan, sambil mengekalkan kecairan penuh.
Webull Malaysia melalui satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu menandakan usaha terkininya untuk meningkatkan kebolehcapaian kewangan dengan menggabungkan platform pelaburan yang didorong oleh teknologi Webull bersama kepakaran pengurusan dana AHAM Capital bagi membantu rakyat Malaysia mengoptimumkan wang tunai mereka dengan lancar, sambil menjana pulangan harian.
Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth Chan berkata kerjasama syarikat itu dengan AHAM Capital mewakili perkongsian usaha bagi menghubungkan pengurusan dana dengan inovasi digital, yang akan mewujudkan titik masuk yang mudah, berpatutan dan berisiko rendah yang akan memperkasakan rakyat Malaysia dalam mengembangkan kekayaan mereka termasuk memupuk tabiat kewangan yang sihat, dengan platform yang dibina atas kepercayaan, ketelusan serta keterangkuman.
Sementara itu, Pengarah Urusan AHAM Capital Datuk Teng Chee Wai berkata kerjasama itu akan menangani jurang dalam pelaburan wang tunai yang tidak aktif.
“Moneybull menyelesaikan isu ini dengan meletakkan baki tunai yang tidak dilaburkan ke dalam dana pasaran wang yang berisiko rendah tetapi patuh Syariah bagi mendapatkan pulangan yang stabil, namun mengekalkan fleksibiliti penuh untuk digunakan apabila adanya peluang dalam pasaran,” katanya.
“Matlamat kami adalah untuk menyokong rakyat Malaysia membina daya ketahanan kewangan dan kekayaan jangka panjang. Dengan menggabungkan pengurusan dana profesional dan antara muka digital yang mesra pengguna, kami berjaya mendemokrasikan akses kepada penyelesaian pelaburan yang sebelum ini hanya tersedia untuk institusi dan individu bernilai bersih tinggi,” katanya.
Melalui Moneybull, baki tunai pelabur akan dilaburkan ke dalam AHAM Aiiman Enhanced i-Profit Fund Class B, sebuah dana pasaran wang patuh Syariah yang diuruskan oleh AHAM Capital.
Dana ini menawarkan pilihan berisiko rendah bagi mendapatkan pulangan yang stabil sehingga 3.4 peratus setahun, sambil mengekalkan baki tunai yang dapat diakses sepenuhnya tanpa tempoh penguncian.
Bersempena dengan pelancaran itu, Webull Malaysia menawarkan kempen promosi untuk semua pengguna baharu dan sedia ada.
Pengguna yang mengaktifkan Moneybull sepanjang tempoh kempen boleh menikmati pulangan bonus sehingga 6.0 peratus setahun selama 90 hari, untuk baki tunai yang layak sehingga RM200,000 setiap pengguna. Selain itu, pengguna baharu yang membuka dan mengaktifkan akaun Webull semasa tempoh kempen layak mendapat Ganjaran Selamat Datang.
Webull Malaysia berkata pengguna yang mendepositkan RM5,000 dan mengekalkan baki selama 60 hari akan menerima saham NVIDIA bernilai RM500. Kempen ini berlangsung mulai 14 November hingga 31 Disember 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial