EKONOMI > BERITA

BELANJAWAN SABAH 2026 DIBENTANG 12 DIS INI - MASIDI

03/12/2025 03:14 PM

KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah yang baru dibentuk pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dijadualkan membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 12 Disember ini.

Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun berkata beliau mempunyai tempoh 10 hari untuk memuktamadkan inti pati Belanjawan Sabah 2026 sebelum ia dibentangkan sekali gus menjadi tugas pertamanya selepas dilantik memegang portfolio itu.

Masidi, yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata berkat kerajinan dan dedikasi pegawai Kementerian Kewangan Sabah yang telah melakukan persiapan lebih awal sebelum pembubaran DUN, proses penyediaannya menjadi lebih mudah walaupun tempoh untuk membuat penambahbaikan agak terhad.

“Insya-Allah, kita bersedia untuk membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Disember ini. Tumpuan belanjawan negeri kali ini lebih kepada usaha untuk meneruskan momentum pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.

“Kita fikir ada keperluan untuk meneruskannya agar impak lebih dapat dirasai sekali gus berupaya mengubah kehidupan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya pada sidang media selepas 'clock-in' di kementeriannya di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Masidi berkata situasi ekonomi global yang semakin mencabar susulan penurunan harga komoditi termasuk minyak mentah dijangka memberi kesan terhadap penyediaan Belanjawan Sabah 2026.

Beliau berkata harga minyak di pasaran antarabangsa kini menunjukkan trend menurun berbanding anggaran awal ketika perancangan belanjawan negeri itu dibuat.

“Bagaimanapun, kita mengharapkan ini tidak akan memberi impak terlalu besar kepada usaha kita untuk meneruskan momentum pembangunan, apatah lagi peruntukan disediakan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan