EKONOMI > BERITA

KERJASAMA ERAT PEMANGKIN PEMERKASAAN KOMUNITI PERNIAGAAN MUSLIM GLOBAL - MOHAMED IQBAL

08/12/2025 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Kerjasama yang lebih erat dalam kalangan komuniti perniagaan Muslim global diperlukan bagi memperkasakan keupayaan ekonomi kolektif Islam serta melonjakkan kedudukan umat Islam sebagai pemain utama pasaran, kata Presiden Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther.

Beliau berkata komuniti perniagaan Muslim bukan pemain pasaran kecil berikutan ia memiliki kekuatan kolektif hampir dua bilion penduduk serta jejak ekonomi yang semakin berkembang di seluruh dunia Islam.

“Komuniti Muslim bukan pemain kecil (pasaran), malah, ia berpotensi menjadi kuasa ekonomi yang benar-benar berpengaruh.

"Disebabkan itu kerjasama bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Kita kini berada dalam proses tersebut. Kita perlu membina hubungan ekonomi yang lebih mendalam… apabila dunia Islam bergerak seiring, ia membentuk pasaran,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Forum GMBF 2025 di sini hari ini.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Institut Strategik KSI, Islamic Chamber of Commerce and Development (ICCD) serta Global One, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di United Kingdom yang mendapat pentauliahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ia mengumpulkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan, sarjana dan inovator untuk membincangkan strategi masa depan serta tindakan kolektif untuk manfaat komuniti Muslim global.

Sementara itu, Mohamed Iqbal yang juga Timbalan Pengerusi Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik berkata Malaysia sejak sekian lama percaya kepada nilai keterlibatan yang konstruktif dalam kalangan negara Islam.

Beliau menegaskan kepentingan Malaysia sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara, Teluk, Asia Selatan dan sistem antarabangsa yang lebih luas.

“Malaysia secara konsisten menggalakkan sesi dialog, kesederhanaan dan kerjasama ekonomi. Kepemimpinan negara ini dalam kewangan Islam, standard halal, fasilitasi perdagangan dan pembangunan undang-undang mencerminkan komitmen untuk merapatkan jurang dan membina hubungan kerjasama yang erat.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada pada kedudukan yang unik untuk menggalakkan pendekatan kerjasama antara Timur dan Barat, dan dalam bulan lepas kita telah menyaksikan contoh yang jelas bagaimana ia dilaksanakan dengan penuh keyakinan,” katanya.

Dengan populasi global berjumlah 1.9 bilion dan terus meningkat, umat Islam merupakan antara kumpulan demografi dan ekonomi paling signifikan di dunia.

Pada 2022, perbelanjaan pengguna Muslim mencecah US$2.29 trilion, dipacu pertumbuhan dalam makanan halal, farmaseutikal, fesyen sederhana, pelancongan dan media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan