EKONOMI > BERITA

2025: DETIK PERUBAHAN SEKTOR MINYAK DAN GAS MALAYSIA, MOMENTUM DIJANGKA BERTERUSAN

09/12/2025 10:06 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Malaysia melangkah menuju 2026 dengan sektor minyak dan gas yang masih kukuh, namun faktor yang mempengaruhinya sedang berubah lebih cepat berbanding dalam tempoh beberapa dekad lepas.

Persekitaran operasi yang dahulunya stabil kini dibentuk oleh tekanan politik tempatan dan perubahan struktur global.

Usaha Sabah untuk kembali menuntut hak hasil perlembagaannya dan tindakan Sarawak mempercepat usaha untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar ke atas gas asli, telah mengubah keseimbangan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi strategi yang boleh mentransformasikan pengurusan tenaga negara.

Pada masa yang sama, pasaran minyak global sedang berdepan lebihan bekalan berstruktur yang menyebabkan harga minyak di seluruh dunia semakin kehilangan sokongan di seluruh dunia. 

Sehingga kini, purata harga minyak Brent mencecah US$68.63 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) kekal pada US$65.25 setong, paras yang telah menyebabkan tekanan kepada margin yang merentasi rantaian nilai.

Seiring dengan keadaan ini, Petronas melaksanakan penstrukturan semula tenaga kerjanya kira-kira 10 peratus, yang melibatkan lebih 5,000 pekerja, sebagai antara langkah penjimatan kos yang meluas akibat kejatuhan harga minyak mentah dan permintaan yang lebih perlahan.

Langkah ini memperlihatkan peningkatan tekanan operasi yang dialami syarikat minyak negara dalam landskap harga yang rendah dan ketidaktentuan yang meningkat.

Bagi Malaysia, gabungan perubahan di peringkat domestik dan luaran ini menunjukkan bahawa tahun  akan datang bakal menjadi tahun penting, dengan keputusan yang akan dibuat pada 2026 dijangka menentukan hala tuju sektor itu bukan sahaja dalam masa terdekat, malah untuk jangka panjang.

Hak sebanyak 40 peratus hasil bersih Sabah, yang telah lama dilihat sebagai klausa perlembagaan tidak aktif, kembali menjadi tumpuan negara selepas kemenangan Mahkamah Tinggi negeri yang mengarahkan pengiraan semula sepenuhnya ke atas hasil Persekutuan yang terhutang bermula 1974 hingga 2021.

Tindakan Putrajaya untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan utama itu menunjukkan kesediaan untuk berunding walaupun ia mencabar elemen tertentu dalam penghakiman berkenaan.

Sebarang pelarasan dari segi peningkatan hak Sabah akan terus mempengaruhi pengagihan hasil persekutuan dan berpotensi mengubah keutamaan pelaburan huluan dan infrastruktur di seluruh Malaysia Timur.

Sementara itu, Sarawak sedang menggerakkan aspirasinya ke hadapan, dengan usaha negeri itu supaya Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengambil peranan sebagai pengumpul gas asli telah menjejaskan peraturan yang telah lama wujud.

Rundingan yang sedang dijalankan dengan Petronas juga telah mula menjejaskan jadual proses penyambungan dan pengoperasian serta kerja-kerja tambahan di tapak dan medan minyak pasca gerudi.

Perubahan dalam aspek politik kini menimbulkan cabaran operasi. Bagaimanapun, Petronas tidak berdiam diri.

Menurut firma penyelidikan BMI, syarikat minyak negara itu sedang mempercepat strategi pengembangan antarabangsa dengan menyasarkan kira-kira 60 peratus daripada portfolio huluannya di luar negara dalam masa 10 tahun akan datang.

Pendekatan berkenaan merupakan strategi lindung nilai memandangkan Sarawak, yang memiliki kira-kira 40 peratus rizab minyak dan 60 peratus rizab gas Malaysia, mendapat autonomi yang lebih besar.

Bagi mengukuhkan operasinya di peringkat global, Petronas telah meningkatkan kerjasama antarabangsa termasuk memorandum persefahaman dengan Dragon Oil pada Oktober 2025 bagi meneroka peluang huluan di Mesir dan Turkmenistan.

Di dalam negara, Petronas telah memeterai perjanjian penilaian teknikal dengan BP, Eni, INPEX, Pertamina, PTTEP dan TotalEnergies untuk menilai lembangan yang belum banyak diteroka di Semenanjung Malaysia.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes menggambarkan prestasi Malaysia pada 2025 sebagai “berdaya tahan namun tidaklah luar biasa,” dengan menyatakan bahawa asas ekonomi negara masih kukuh tetapi penampan dalam sektor huluan dan hiliran semakin berkurangan.

Tekanan fiskal meningkat seiring. Keputusan mahkamah Sabah menyebabkan jangkaan mengenai pembahagian hasil perlu diubah manakala dividen Petronas yang diunjurkan sebanyak RM20 bilion untuk 2026 iaitu terendah dalam tempoh sembilan tahun -- mengecilkan ruang fiskal Kerajaan Persekutuan.

Walaupun pembayaran dividen yang rendah membolehkan Petronas untuk melabur semula dengan lebih agresif dalam sektor huluan, gas asli cecair dan projek karbon rendah, ia juga menunjukkan bahawa belanjawan negara masih bergantung kepada pendapatan berkaitan petroleum dalam keadaan pelaksanaan pembaharuan subsidi dan cabaran demografi.

Dasar bahan api negara turut memasuki fasa baharu pada 2025. Kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh kedua tahun ini selepas rasionalisasi diesel pada tahun lepas, dengan beralih daripada subsidi secara menyeluruh kepada kerangka yang lebih bersasar.

Melalui sistem baharu ini, rakyat Malaysia yang layak boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter manakala pengguna tidak layak perlu membayar mengikut harga terapung mingguan di bawah mekanisme penetapan harga automatik.

Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan ketirisan dan meredakan tekanan fiskal yang telah lama berlarutan.

Perubahan domestik ini berlaku dalam keadaan pasaran global yang tidak banyak melegakan tekanan. Permintaan pada 2025 lebih rendah berbanding jangkaan berikutan pemulihan China yang terganggu, Kesatuan Eropah mengalami kelembapan dalam sektor perindustrian dan tindakan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan rantaian bekalan.

Faktor seperti penggunaan kenderaan elektrik dan peningkatan kecekapan sedang mengurangkan dominasi minyak, yang menyaksikan keadaan ini berlaku lebih cepat berbanding jangkaan.

Sementara itu, bekalan minyak meningkat dengan ketara. Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) menambah semula kira-kira 2.6 juta tong sehari (bpd) selepas mengurangkan pengeluarannya sebelum ini manakala AS, Kanada, Brazil dan Guyana mencapai paras pengeluaran tertinggi baharu.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan lebihan bekalan sebanyak 1.9 juta bpd pada 2025 dan meningkat kepada empat bpd tahun depan manakala pihak Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS dan BloombergNEF memberikan unjuran menurun yang serupa.

Malah, kejutan geopolitik tidak lagi mampu memberikan sokongan harga yang berpanjangan. 

Walaupun berlaku serangan ke atas loji penapisan di Rusia dan sekatan baharu oleh negara-negara Barat, bekalan minyak Rusia masih berada di pasaran melalui kumpulan kapal ‘bayangan’ (beroperasi secara tidak telus untuk mengelakkan pemantauan dan sekatan) manakala bekalan minyak mentah yang lebih murah dari Venezuela, Nigeria dan Iran masih mudah diperoleh oleh pembeli di Asia.

China telah menyimpan stok antara 0.53 hingga 0.9 juta bpd pada 2025 dan kapasiti penyimpanannya hampir penuh sekali gus menjejaskan satu daripada faktor penstabilan utama pasaran.

ABN AMRO menjangka sekatan terkini AS ke atas Rusia hanya sementara dan menjelaskan bahawa tanpa sekatan sekunder terhadap pembeli, minyak Rusia akan terus berada di pasaran walaupun dengan kos logistik yang lebih tinggi. 

Apabila China memperlahankan aktiviti penyimpanan stok, pasaran mungkin mengalami impak daripada lebihan bekalan tidak lama lagi.

Bank itu mengunjurkan purata minyak mentah Brent mencecah US$58 setong pada suku pertama 2026, menyusut kepada US$52 pada pertengahan tahun dan sekitar US$50 pada akhir tahun -- dengan jangkaan purata setahun penuh kepada US$55 setong, seiring dengan lebihan bekalan struktur dan bukannya penurunan mengikut kitaran.

Malaysia melangkah menuju 2026 dengan kekuatan sebenar -- sebuah syarikat minyak negara yang mantap, rantaian nilai bersepadu dan asas kos huluan yang berdaya saing.

Bagaimanapun, keadaan di sekelilingnya telah mengalami perubahan besar.

Pasaran global beralih kepada lebihan bekalan, Sabah dan Sarawak sedang menyusun semula pelaksanaan urusan domestik, dan model fiskal persekutuan perlu melakukan perubahan supaya terhindar daripada kerentanan yang semakin meluas.

Ini bukan peralihan yang biasa. Ini merupakan detik perubahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan