KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kadar pengangguran Malaysia dijangka kekal 3.0 peratus pada 2025 dan 2026, disokong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil serta pengambilan pekerja berterusan dalam sektor perkhidmatan berorientasi domestik, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Dalam nota penyelidikan hari ini, MBSB IB menjelaskan kadar pengangguran dijangka turun kepada 3.0 peratus tahun ini daripada purata 3.3 peratus pada 2024 seterusnya diunjurkan kekal 3.0 peratus pada 2026.
“Pengembangan pelaburan, pelaksanaan projek dan inisiatif nasional utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13, Strategi Semikonduktor Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Program Pengaktifan dan Reformasi Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) akan terus merangsang penciptaan pekerjaan dan mengukuhkan permintaan tenaga kerja di Malaysia,” menurutnya.
Bank pelaburan itu memaklumkan pasaran tenaga kerja yang baik akan terus menyokong penggunaan domestik dan pertumbuhan ekonomi pada 2026.
“Risiko negatif berpunca daripada gangguan berkaitan tarif, yang boleh menjejaskan permintaan global dan pengambilan pekerja dalam sektor berorientasi eksport dan komoditi.
“Bagaimanapun, aktiviti pelancongan yang kukuh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan permintaan yang lebih tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik serta teknologi akan memberikan sokongan tambahan kepada prospek pekerjaan,” katanya.
MBSB IB juga menyatakan pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan pada Oktober 2025, dengan kadar pengangguran stabil pada 3.0 peratus bagi bulan keenam berturut-turut, iaitu paras terendah dalam sedekad.
“Prestasi itu didorong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun, yang mengatasi pertumbuhan tenaga kerja sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun sejak Ogos 2021, dengan kedua-dua indikator mengekalkan momentum bulan sebelumnya,” tambahnya.
Bank pelaburan itu menjelaskan bilangan penganggur tidak berubah pada 519,000 walaupun secara tahunan angka itu berkurangan pada kadar yang lebih perlahan iaitu 4.9 peratus tahun ke tahun berbanding penurunan 5.5 peratus pada September 2025.
“Kadar pengangguran belia (berumur 15 hingga 24 tahun) kekal pada 10.1 peratus, mencerminkan paras pengangguran yang masih tinggi dalam kalangan golongan belia serta cabaran yang dihadapi lulusan pengajian tinggi dan pencari kerja baharu untuk mendapatkan pekerjaan dan menyesuaikan diri dalam pasaran buruh,” menurutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial