SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: MALAYSIA LAKAR KEJUTAN RAIH EMAS POOMSAE BERPASUKAN WANITA RECOGNISED

10/12/2025 07:20 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 10 Dis (Bernama) -- Skuad taekwondo negara membutirkan emas sulung mereka pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas mengungguli acara poomsae berpasukan wanita recognised di sini, hari ini.

Biarpun tidak diletakkan sebagai sandaran utama merangkul emas, namun kelincahan trio Seah Jing Ying Seah, Wong Zin dan Yow Mei Yee sudah cukup memikat hati juri untuk menghadiahkan mereka 8.560 mata pada saingan akhir di pusat beli-belah Fashion Island.

Mereka mengetepikan saingan terdekat dari Thailand dibarisi Chonlakorn Chayawatto, Chutikarn Lapnitayapan dan Ratchadawan Tapaenthong yang mengumpul 8.450 mata bagi merangkul pingat perak.

Jing Ying berkata mereka sama sekali tidak menyangka dapat menyumbang emas sulung buat skuad taekwondo negara memandangkan diselubungi perasaan gemuruh berdepan tuan rumah yang menerima sokongan padu daripada penyokong mereka dalam venue pertandingan.

Beliau juga berkata kontroversi yang berlaku awal hari ini terhadap rakan sepasukan, Jason Loo Jun Wei-Nur Humaira Abdul Karim, dalam acara poomsae berpasangan campuran recognised tidak menjejaskan fokus mereka pada aksi final.

“Kami kekal fokus pada (persembahan) sendiri kerana kami tidak mahu diganggu perkara lain," katanya kepada pemberita.

Harapan skuad taekwondo negara untuk Jason Loo-Nur Humaira menjelmakan kilauan pingat emas acara mereka hari ini dihampakan dengan keputusan juri pada aksi suku akhir.

Para juri menganugerahkan kemenangan kepada pasangan tuan rumah Chonlakorn Chayawatto-Thana Kiewailerd berdasarkan aspek persembahan, walaupun kedua-dua pasangan terikat 8.460 mata.

Malaysia membantah keputusan itu namun tidak berjaya, dengan pihak juri tetap mempertahankan keputusan mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan