EKONOMI > BERITA

PASARAN IPO MALAYSIA BERADA DI LANDASAN BAGI 60 PENYENARAIAN PADA 2025 - AMIR HAMZAH

09/12/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia memperlihatkan prestasi kukuh tahun ini, dengan jumlah penyenaraian dijangka mencecah 60 syarikat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah yang juga menjalankan fungsi dan tugas Menteri Ekonomi berkata jumlah IPO tahun ini diunjur melebihi IPO tahun lepas iaitu 55 IPO di bursa berkenaan.

"Melalui 60 penyenaraian ini, kita akan menerima modal pasaran berjumlah hampir RM30 bilion yang diraih di Bursa Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian Orkim Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini hari ini.

Mengenai sasaran tahun depan, Amir Hamzah berkata kerajaan telah menyarankan supaya Bursa Malaysia memberikan tumpuan kepada “skala penyenaraian” dan bukan semata-mata jumlah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Saya berpandangan bahawa Bursa Malaysia akan mengubah sedikit fokus mereka dari segi memberikan lebih banyak perhatian kepada usaha syarikat besar untuk menyertai Bursa Malaysia, dan mengukuhkan Pasaran Utama sebagai sasaran utamanya.

“Oleh itu, kami sedang berbincang dengan Bursa Malaysia untuk menetapkan sasaran bukan sahaja berdasarkan jumlah, tetapi juga saiz atau kepentingan pemain dalam pasaran,” kata beliau.

Syarikat pengangkutan marin Orkim mula disenaraikan di Pasaran Utama hari ini pada harga 92 sen, tidak berubah daripada harga IPO 92 sen, dengan 5.40 juta saham diniagakan.

Amir Hamzah berkata penyenaraian Orkim hari ini menandakan IPO ke-58 tahun ini, yang menunjukkan keyakinan kukuh pelabur serta wujudnya peluang bagi syarikat yang bersedia untuk memanfaatkan ketelusan, tadbir urus dan pertumbuhan mampan.

Katanya kerajaan sentiasa berusaha untuk merancakkan lagi ekonomi dan menjalankan inisiatif untuk menyokong syarikat yang berkemampuan dan berpotensi besar di Malaysia.

"Kita melihat dalam agenda GEAR-uP yang kita adakan untuk meningkatkan penyertaan yang kita panggil "relay race," yang mana syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan  yang kita ada sekarang melabur dalam syarikat yang diklasifikasikan sebagai syarikat penengah dengan potensi untuk berkembang pada masa depan.

"Kita berharap di bawah agenda yang kita ada ini akan menyaksikan lebih banyak syarikat penengah terus berkembang dalam model ini dan sebahagian daripadanya juga syarikat bumiputera yang akan dapat berkembang dalam model sama," katanya.

Mengulas mengenai harga saham Orkim yang mendatar ketika mula disenaraikan hari ini, Pengerusinya Datuk Abdul Hamid Sh Mohamed berkata “apa yang lebih penting adalah pelabur melihat daripada perspektif jangka panjang.

“Seperti yang telah kami maklumkan sebelum ini, kami mempunyai dasar dividen yang agak baik iaitu 50 hingga 70 peratus pada harga ini.

“Melangkah ke beberapa tahun akan datang, hasil dividen diharapkan baik selaras dengan pertumbuhan syarikat dan peningkatan pembayaran dividen,” katanya.

Menerusi penyenaraian ini, Orkim berjaya mengumpul sebanyak RM92 juta hasil IPO, dengan sebahagiannya untuk membiayai rancangan pengembangan kumpulan kenderaannya serta keperluan modal kerja syarikat.

Sementara itu, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Ekuinas dalam kenyataan bersama berkata, berikutan penyenaraian ini, Ekuinas dijangka menerima nilai kasar sebanyak RM828 juta daripada IPO dan pemindahan saham daripada PNB.

“Sejumlah RM350 juta akan diagihkan sebagai dividen kepada PNB yang akan memanfaatkan pemegang unit amanah.

“Ekuinas akan menggunakan semula modal tertahan untuk pelaburan baharu dalam syarikat pasaran pertengahan bumiputera, memastikan kitaran semula modal dan pertumbuhan perusahaan yang berterusan,” menurut kedua-dua pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan