Daripada Kisho Kumari Sucedaram
GENEVA, 9 Dis (Bernama) -- Syarikat penerbangan global dijangka mencatat rekod baharu dengan keuntungan bersih terkumpul berjumlah US$41 bilion (US$1=RM4.11) pada 2026, meningkat daripada US$39.5 bilion tahun ini manakala margin keuntungan bersihnya diunjur tidak berubah pada 3.9 peratus.
Mengikut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berpangkalan di Geneva, keuntungan operasi dijangka lebih tinggi pada US$72.8 bilion tahun depan daripada US$67 bilion pada 2025 dengan margin operasi bersih 6.9 peratus yang meningkat daripada unjuran 6.6 peratus pada 2025.
Perolehan hasil industri dijangka meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada US$1.05 trilion, mengatasi pertumbuhan perbelanjaan operasi sebanyak 4.2 peratus kepada US$981 bilion, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sebanyak US$1.5 bilion dalam keuntungan bersih industri pada 2026.
Selain itu, keuntungan bersih bagi setiap penumpang dijangka di bawah US$7.90 pada 2026 yang tidak berubah berbanding tahun ini dengan rantau Timur Tengah sekitar pada US$28.6, Eropah (US$10.9), Amerika Utara (US$9.8), Amerika Selatan (US$5.7), Asia-Pasifik (US$3.2) manakala Afrika pada US$1.3.
Dalam sesi taklimat media global yang turut dihadiri oleh Bernama di sini pada Selasa, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata prospek kewangan itu sebagai berita yang amat dialu-alukan susulan mengambil kira cabaran dihadapi industri – peningkatan kos akibat kesesakan rantaian bekalan aeroangkasa, konflik geopolitik, perdagangan global yang lebih perlahan serta beban peningkatan peraturan atau pengawal seliaan.
Walsh berkata unjuran bagi keuntungan yang mencecah angka rekod bagi 2026 itu didorong oleh kejayaan syarkat-syarikat penerbangan mewujudkan ketahanan yang dapat menyerap kejutan dalam perniagaan masing-masing, sekali gus memberikan keuntungan yang lebih stabil.
Selain itu, IATA juga menyifatkan faktor-faktor makroekonomi yang memberi impak ke atas syarikat penerbangan pula dijangka bercampur-campur pada tahun depan.
Dari sudut positif, katanya, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka kebanyakannya stabil pada 3.1 peratus manakala inflasi susut kepada 3.7 peratus dan pertumbuhan perdagangan dunia pada 0.5 peratus.
Perolehan hasil daripada tiket penumpang dijangka mencecah US$751 bilion pada 2026, didorong terutamanya oleh 4.9 peratus pengembangan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) peringkat industri pada tahun itu.
Dalam pada itu, hasil sampingan dan lain-lainnya dijangka tumbuh sebanyak 5.5 peratus kepada US$145 bilion manakala hasil kargo diunjur US$158 bilion pada 2026, dipacu oleh pertumbuhan berterusan dalam jumlah kargo dan e-dagang.
“Secara keseluruhannya, unjuran kos bagi 2026 menunjukkan persekitaran lebih seimbang dengan kos bahan api diimbangi oleh peningkatan tekanan bukan bahan api. Bagaimanapun, kadar inflasi yang kian perlahan turut membantu menstabilkan asas kos,” katanya.
Pada masa sama, kos bahan api dijangka turun sedikit kepada US$252 bilion pada 2026.
Faktor muatan pula diunjur mencatat paras tertinggi baharu dengan syarikat penerbangan dijangka memenuhi 83.8 peratus daripada semua tempat duduk pada 2026 manakala jumlah penumpang dijangka mencecah 5.2 bilion tahun depan yang merupakan peningkatan sebanyak 4.4 peratus.
“Jumlah kargo dijangka mencecah 71.6 juta tan pada 2026 atau meningkat 2.4 peratus berbanding 2025,” katanya.
Walsh juga menyifatkan prestasi kargo udara sebagai menarik kerana terbukti berjaya mengatasi unjuran suram di tengah-tengah persekitaran dagangan yang berubah.
“Ketika aliran perdagangan ini terpaksa disesuaikan mengikut dasar perlindungan menerusi pelaksanaan tarif Amerika Syarikat, kargo udara sebaliknya menjadi ‘wira’ perdagangan global, sebahagiannya dipacu oleh penghantaran e-dagang dan semikonduktor bagi menyokong ledakan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial