KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Gudang baharu Fuji Logistics (M) Sdn Bhd, Pusat Logistik Kulim 2 di Northern Technocity, Kulim Kedah akan terus mengukuhkan peranannya sebagai rakan logistik boleh dipercayai.
Dalam kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan logistik itu menjelaskan pusat itu juga akan meneguhkan kedudukan Northern Technocity sebagai hab utama aktiviti pembuatan termaju dan logistik di utara Malaysia.
Gudang baharu itu juga akan terus memperkukuh kedudukan perbandaran itu sebagai hab logistik dan pembuatan termaju yang berkembang pesat di utara Malaysia, tambahnya.
Menurut Fuji Logistics, gudang baharu berkeluasan 28,800 meter persegi itu terletak di kawasan tinggi untuk menyediakan perlindungan daripada banjir semula jadi dalam lingkungan Northern Technocity, hab utama Taman Teknologi Tinggi Kulim.
“Lantai rata diperkukuh dengan pengeras emeri/karborundum menyediakan permukaan tahan lasak, bebas habuk dan reflektif yang sesuai untuk robotik dan rak berketepatan tinggi.
“Sistem ‘Early Suppression, Fast Response’ (ESFR) meningkatkan keselamatan, manakala bekalan kuasa 11 kilovolt (kV) khusus, penjana tunggu sedia 750 kilovolt-ampere (kVA) dengan sokongan 12 jam, serta sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV) dan sistem elektrik yang sedia dinaik taraf memastikan operasi dipercayai dan sedia masa hadapan,” jelasnya.
Pengarah Urusan Fuji Logistics, Satoshi Toki berkata gudang baharu itu menandakan langkah penting dalam komitmen syarikat untuk menyokong sektor pembuatan termaju yang berkembang pesat di Kulim, Kedah.
“Northern Technocity menyediakan persekitaran ideal untuk pengembangan kami, membolehkan kami menawarkan penyelesaian khusus kepada pelanggan.
“Kami gembira untuk mengukuhkan kehadiran kami di sini dan menyumbang kepada pembangunan logistik dan perindustrian di negara ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial