EKONOMI > BERITA

RUSIA BERUSAHA PERTINGKAT KERJASAMA DAGANGAN, EKONOMI DENGAN MALAYSIA -- DUTA

10/12/2025 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Rusia berusaha mempertingkatkan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Malaysia terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor yang dianggap penting secara strategik oleh Moscow berikutan perubahan rantaian bekalan global.

Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov berkata Malaysia dilihat sebagai rakan perdagangan utama dan boleh dipercayai di ASEAN.

Beliau berkata jumlah perdagangan Rusia-ASEAN adalah sekitar US$22 bilion setahun (US$1 = RM4.11).

Jelas beliau, kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama mikrocip global, komponen elektronik dan minyak sawit menjadikannya rakan penting untuk industri di Rusia.

"Sewaktu pandemik, kami sangat bergantung kepada bekalan semikonduktor dari Malaysia. Pengeluar automotif kami termasuk pengeluar terbesar Rusia berdepan kesukaran semasa kekurangan cip global.

"Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam menstabilkan bekalan itu," katanya dalam satu taklimat media di sini hari ini.

Walaupun Moscow tetap berminat untuk meningkatkan import semikonduktor dan komponen elektronik dari Malaysia, duta besar itu mengakui bahawa sekatan antarabangsa dan kebimbangan pematuhan terus menjadi cabaran bagi syarikat di kedua-dua pihak.

Beliau menekankan bahawa Rusia tidak mahu rakan-rakan di Malaysia berdepan sebarang risiko denda dan semua kerjasama mesti kekal 'saling bermanfaat dan selamat.'

Latypov berkata Rusia terus mengimport minyak sawit, peralatan elektronik dan komponen dari Malaysia dengan ruang yang besar untuk pengembangan selanjutnya.

Beliau menambah syarikat-syarikat Rusia kini sedang meneroka bidang baharu dalam kerjasama teknologi dan perindustrian dengan Malaysia.

"Kami yakin terdapat potensi besar untuk mengembangkan perdagangan dua hala terutamanya dalam industri berteknologi tinggi.

"Malaysia mempunyai keupayaan yang kukuh dalam semikonduktor dan syarikat kami sudah tentu berminat. Tetapi kami juga ingin memastikan kerjasama ini tidak menimbulkan sebarang kesukaran bagi rakan-rakan Malaysia kami," katanya.

Latypov berkata Rusia bersedia untuk meneruskan inisiatif ekonomi baharu dengan Malaysia walaupun menghadapi halangan luar sambil menekankan kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada kepelbagaian perdagangan serta pengukuhan ketahanan rantaian bekalan.

"Kami menghargai Malaysia sebagai rakan yang dipercayai di rantau ini dan berharap perdagangan antara kedua-dua negara akan terus berkembang," tambahnya.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia kekal ketara dan terus berkembang, mencapai kira-kira US$3.5 bilion pada September 2025.

Rusia kini merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan