KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Syarikat milik penuh Citaglobal Bhd, Citaglobal Land Sdn Bhd memperoleh dua kontrak pembinaan daripada UDA Land (South) Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM82.72 juta.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak daripada UDA Land bernilai kira-kira RM62.42 juta.
Katanya, kontrak daripada UDA Land adalah bagi kerja-kerja infrastruktur utama merangkumi kerja tanah, kerja jalan, infrastruktur elektrik, sistem pembetungan utama, sistem pengagihan air utama serta kerja-kerja lain yang berkaitan di UDA Enclave (Zon B), Bandar UDA Utama di Johor Bahru, Johor.
“Kontrak daripada JKR pula bernilai kira-kira RM20.30 juta melibatkan Projek Naik Taraf Jeti Labuan dan dijangka siap dalam tempoh 120 minggu dari tarikh pemilikan tapak dengan sasaran siap pada April 2028,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Citaglobal berkata kontrak-kontrak ini akan terus meningkatkan nilai perolehan kontrak syarikat dan anak-anak syarikatnya kepada kira-kira RM1.8 bilion selain berasaskan nilai perolehan kontrak tertunggak kumpulan sebanyak RM1.1 bilion setakat September 2025.
“Kontrak-kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham yang diterbitkan dan pegangan saham oleh pemegang saham utama syarikat, tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata projek-projek ini mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada syarikat untuk menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat kepada komuniti serta menyokong aktiviti ekonomi.
“Dalam sektor pengangkutan, air, pembangunan bandar dan tenaga boleh baharu, keutamaan kami kekal pada pelaksanaan kerja secara bertanggungjawab dan konsisten, sambil membina platform infrastruktur yang tahan lasak dan pelbagai untuk jangka panjang,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial