KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mencatatkan eksport digital berjumlah RM6.8 bilion antara tempoh 2024 dan Separuh Pertama 2025, yang mana merupakan satu pencapaian signifikan dalam industri ekonomi digital Malaysia.
MDEC berkata prestasi eksport yang kukuh itu didorong oleh program Pusat Kecemerlangan Pengasas MDEC serta Program Gerbang, Perkasakan, Labur dan Asuh yang menyokong syarikat digital Malaysia yang berpotensi tinggi untuk berkembang di peringkat antarabangsa, mendapatkan modal pertumbuhan dan membina daya saing mampan.
Pada 2024, Malaysia menjana eksport digital berjumlah RM4.2 bilion, dipacu oleh 325 syarikat yang beroperasi di 27 negara.
"Momentum ini berterusan sehingga separuh pertama tahun 2025, dengan eksport digital mencecah RM2.6 bilion, disokong oleh 350 syarikat yang berkembang ke 39 pasaran di seluruh dunia.
"Syarikat yang didayakan kecerdasan buatan (AI) terutamanya, menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah eksport digital, sekali gus menunjukkan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dalam teknologi digital canggih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Petunjuk prestasi yang mantap ini dijangka berterusan sehingga separuh kedua 2025, sekali gus memperkukuh lagi pengembangan, daya saing dan daya tahan ekosistem digital Malaysia, kata MDEC.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata hasil eksport kukuh itu menunjukkan kesediaan Malaysia untuk menerajui ekonomi digital global, disokong oleh dasar yang jelas dan perkongsian awam-swasta yang berkesan.
Beliau berkata pertumbuhan eksport digital Malaysia mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap dasar, bakat dan infrastruktur digital negara.
"Ketika kita menuju ke arah sebuah Negara AI menjelang 2030, keutamaan kita adalah untuk memastikan inovasi diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang ketara melalui eksport, penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi dan pertumbuhan mampan.
"Keputusan ini menunjukkan bahawa syarikat digital Malaysia semakin bersedia untuk bersaing dan berjaya di peringkat global," katanya dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata keputusan itu mencerminkan evolusi MDEC selama tiga dekad, daripada pembina ekosistem kepada penyokong pengembangan global, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan inovasi serantau.
“Prestasi kukuh eksport digital yang dicapai sejak dua tahun lalu mencerminkan bagaimana fasilitasi bersasar, akses pasaran yang dipertingkatkan dan sokongan pembiayaan dapat mempercepatkan usaha syarikat Digital Malaysia untuk berkembang dengan lebih pantas, bersaing dengan yakin dan mewujudkan kehadiran global yang mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial