EKONOMI > BERITA

PELANCARAN UPI DIJANGKA TINGKAT DAYA KECEKAPAN PEMBAYARAN, KURANGKAN KOS TRANSAKSI

10/02/2026 12:57 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

 

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Sistem Antara Muka Pembayaran Bersepadu (UPI) India yang akan memasuki pasaran Malaysia, bakal meningkatkan kecekapan pembayaran, mengurangkan kos transaksi dan menyokong transaksi digital yang lebih lancar antara syarikat Malaysia dan India, serta untuk pengguna dan komuniti diaspora.

Timbalan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan & Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Datuk Dr A T Kumararajah menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif untuk integrasi ekonomi dua hala dan perniagaan Malaysia, terutamanya yang terlibat dalam perdagangan rentas sempadan, perkhidmatan, pelancongan dan pengiriman wang.

"Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan India mencecah RM79.49 bilion (US$18.59 bilion) pada 2025. Kedua-dua pemimpin telah bersetuju mempercepatkan penyelesaian mata wang tempatan (ringgit dan rupee) untuk memudahkan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang pihak ketiga.

"Asas perdagangan yang kukuh dan hasrat untuk penyelesaian menggunakan mata wang tempatan menjadi hujah kepada infrastruktur pembayaran pelengkap seperti UPI dalam memudahkan transaksi," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Perdana Menteri India Narendra Modi dalam lawatan rasminya pada 7-8 Feb ke Malaysia, berkata sistem UPI akan diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi. Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan mengenai garis masa atau pelaksanaannya.

Sistem UPI merupakan platform pembayaran digital masa nyata yang membolehkan transaksi antara individu ke individu dan individu kepada peniaga secara langsung dengan serta-merta antara akaun bank, menggunakan telefon mudah alih.

Pembayaran boleh dibuat melalui Alamat Pembayaran Maya (VPA), kod QR atau nombor telefon mudah alih, tanpa perlu berkongsi butiran akaun bank dan dijamin melalui pengesahan dua faktor.

 

Skala UPI dan Pertumbuhan Global

Kumararajah berkata sistem UPI diiktiraf sebagai sistem pembayaran pantas runcit terbesar di dunia mengikut jumlah transaksi, mengendalikan lebih banyak transaksi digital berbanding kebanyakan rangkaian pembayaran global.

"Sistem UPI memproses antara 20 bilion hingga 21.6 bilion transaksi sebulan pada 2025, menunjukkan penggunaan domestik yang berkembang secara mendadak.

"Pada 2025, ia mencatatkan 228.3 bilion transaksi berbanding 172.2 bilion pada 2024, menunjukkan pertumbuhan pesat tahun ke tahun," katanya.

Beliau menambah transaksi UPI rentas sempadan meningkat lebih 20 kali ganda pada 2025, daripada hanya beberapa ratus kepada lebih 750,000 transaksi, dengan nilai transaksi melonjak kepada lebih US$30 juta.

UPI kini sudah beroperasi di Bhutan, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Nepal, Sri Lanka, Perancis, Mauritius dan Qatar, serta dijangka diperluas ke Jepun (percubaan), Cyprus, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Maldives.

 

Penerimaan UPI

Beliau berkata komuniti perniagaan India di Malaysia bersedia untuk menerima pakai sistem UPI, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan yang berurusan secara langsung dengan pengguna.

Beliau berkata di Malaysia, lebih 90 peratus PKS menerima pembayaran digital terutamanya melalui DuitNow QR, kad dan e-dompet.

“Oleh kerana sistem UPI berasaskan QR dan direka bentuk secara saling berkaitan, perniagaan milik India yang sudah menggunakan infrastruktur QR berada pada kedudukan operasi yang baik,” katanya. 

Penerima manfaat pertama untuk sistem itu berkemungkinan besar ialah peruncitan, makanan dan minuman, hospitaliti, perkhidmatan pelancongan, perkhidmatan berkaitan pendidikan dan perkhidmatan peribadi, terutamanya yang memberi perkhidmatan kepada pelancong dan pelajar. 

“Kesemua sektor ini mendapat manfaat secara langsung daripada kos transaksi yang lebih rendah, penyelesaian yang lebih pantas dan kadar tukaran yang lebih tinggi, terutamanya apabila pelanggan lebih gemar kaedah pembayaran yang biasa,” tambahnya. 

Beliau turut mendedahkan lebih sejuta pelancong dari India mengunjungi Malaysia dan berbelanja sebanyak RM6.11 bilion (US$1.4 bilion) pada 2024, iaitu peningkatan 71.7 peratus dari tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan yang kukuh dalam pelancongan dan perbelanjaan dari India menunjukkan potensi komersial untuk penerimaan UPI, kerana pengunjung cenderung memilih pembayaran yang lancar dan berkos rendah,” katanya. 

 

Cabaran

Kumararajah berkata, dalam hal ini cabaran untuk pelaksanaannya berkait rapat dengan insentif kepada peniaga, kejelasan harga dan jangkaan permintaan. 

“Peniaga di Malaysia sudah mempunyai akses kepada pelbagai pilihan dalam pembayaran. Penerimaannya pula akan bergantung kepada sama ada ia menawarkan kelebihan dari segi yuran, penyelesaian yang pantas atau capaian pelanggan. 

“Yuran untuk kad di Malaysia biasanya antara satu hingga tiga peratus, manakala sistem pembayaran masa nyata jauh lebih murah, yang boleh menjadi pemacu bagi penerimaan yang kukuh sekiranya disampaikan dengan jelas,” katanya. 

Beliau berpendapat cabaran lain berkait rapat dengan skala, kerana peniaga hanya akan memberi keutamaan kepada sistem UPI jika mereka melihat jumlah transaksi yang konsisten, terutamanya daripada pelancong dan penduduk India. 

“Sehubungan itu penerimaan awal mungkin secara geografinya tertumpu di kawasan bandar dengan trafik yang tinggi dan destinasi pelancongan sebelum diterima pakai dengan meluas di seluruh negara,” tambahnya. 

 

Memastikan kejayaan UPI

Kumararajah berkata MAICCI mengiktiraf kerjasama digital dan teknologi kewangan yang lebih baik, seperti menerusi Majlis Digital Malaysia-India dan rangkaian pembayaran antara NPCI International Limited dan rangkaian pembayaran Malaysia, mencerminkan pengukuhan kerjasama strategik yang komprehensif antara kedua-dua negara. 

“Kami percaya penerimaan UPI perlu dilaksanakan dalam cara yang boleh memastikan kebolehkendalian dengan infrastruktur pembayaran sedia ada di Malaysia dan melindungi perniagaan, selain menawarkan peluang baharu kepada PMKS, pengeksport, penyedia perkhidmatan dan pemain e-dagang untuk memanfaatkan penyelesaian pembayaran yang lebih pantas serta kos efektif. 

“Kami sangat berharap untuk bekerjasama rapat dengan penggubal dasar, pengawal selia dan pihak berkepentingan industri bagi memastikan sistem itu yang akan diperkenalkan di sini memberikan nilai sebenar kepada komuniti perniagaan dan menyokong hubungan ekonomi yang lebih luas antara Malaysia dan India,” tambahnya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan