EKONOMI > BERITA

PENDAPATAN PRESS METAL DIJANGKA MELANGKAUI RM2 BILION SUSULAN KENAIKAN HARGA ALUMINIUM

16/02/2026 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Press Metal Aluminium Holdings Bhd dijangka mencatatkan buat pertama kalinya, keuntungan teras melangkaui RM2 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 selepas didorong oleh lonjakan harga aluminium dan kadar alumina yang stabil, menurut RHB Investment Bank Bhd.

Pengeluar aluminium itu, yang dijadual akan mengumumkan keputusan suku keempatnya menjelang 26 Feb ini, dijangka mencatatkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM650 juta hingga RM730 juta pada suku keempat 2025, menjadikan pendapatan setahun penuh kepada kira-kira RM2.2 bilion hingga RM2.3 bilion.

 

“Peningkatan ini akan dipacu oleh harga aluminium Bursa Logam London (LME) yang lebih tinggi, yang menokok lapan peratus kepada US$2,830 satu tan, manakala harga alumina susut 10 peratus dari suku ke suku kepada US$319 satu tan, mengurangkan nisbah kos alumina ke aluminium kepada kira-kira 10 peratus,” katanya melalui satu nota hari ini. (US$1 = RM3.90) 

 

RHB Investment Bank berkata dari tahun ke tahun, ia menjangkakan pendapatan mengukuh sebanyak 45 hingga 65 peratus, disokong oleh harga LME yang lebih tinggi (menokok 10 peratus) dan harga alumina yang lebih rendah (turun 54 peratus), walaupun sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan dalam kos anod karbon (naik 38 peratus dari tahun ke tahun).

Pergerakan pertukaran asing kekal sebagai faktor utama, dengan menyatakan bahawa dolar US/ringgit jatuh 9.3 peratus dari tahun ke tahun pada 2025 dan empat peratus kemudiannya pada 2026, yang mana ia mungkin memberi tekanan ke atas pendapatan memandangkan lebih daripada 90 peratus produk Press Metal adalah dieksport.

“Berdasarkan analisis sensitiviti kami, dengan mengandaikan tiada langkah lindung nilai yang dibuat, pengukuhan dua peratus dalam ringgit boleh menurunkan pendapatan kami sebanyak lebih kurang kira lima peratus, walaupun ini boleh diimbangi dengan harga aluminium yang lebih tinggi.

"Walaupun harga aluminium jatuh tujuh peratus dalam empat hari, kami percaya prospek semasa untuk aluminium adalah utuh memandangkan South32 Australia telah mengesahkan penghentian loji miliknya di Mozambique pada Mac, dengan tanggungan kos sekali sahaja iaitu sebanyak US$60 juta," katanya.

RHB Investment Bank berkata walaupun penutupan itu mungkin sudah mengambil kira semua, dipercayai bahawa penutupan loji tersebut akan menjejaskan lagi bekalan aluminium, seterusnya, mengekalkan harga yang lebih tinggi selain menyokong premium fizikal.

Bank itu mengekalkan saranan "beli" ke atas Press Metal dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.50, membayangkan kenaikan 12 peratus dan hasil sekitar satu peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan