EKONOMI > BERITA

INFLASI MALAYSIA MENINGKAT 1.6 PERATUS PADA JANUARI 2026 - PERANGKAAN

19/02/2026 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata ia didorong oleh empat kumpulan, didahului oleh penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang meningkat 6.6 peratus berbanding 5.7 peratus pada Disember 2025.

Ini diikuti oleh pendidikan yang menokok 3.2 peratus (Disember 2025: 2.8 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang meningkat 1.2 peratus (Disember 2025: 0.9 peratus) dan rekreasi, sukan dan budaya naik 0.9 peratus (Disember 2025: 0.8 peratus).

Minuman beralkohol dan tembakau (2.5 peratus) serta kumpulan makanan dan minuman (1.5 peratus) mencatatkan kenaikan, peningkatan yang sama dicatatkan bulan sebelumnya, katanya.

DOSM berkata kira-kira 62 peratus barangan (355 daripada 573) mencatatkan kenaikan harga, di mana 346 barangan (97.5 peratus) meningkat sebanyak 10 peratus atau kurang.

Hanya sembilan barangan menyaksikan peningkatan lebih daripada 10 peratus pada Januari 2026, manakala baki 173 barangan (30.2 peratus) mencatatkan penurunan, harga 45 barangan kekal tidak berubah.

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Januari 2026 adalah RM3.11 seliter, lebih rendah daripada RM3.24 seliter dicatatkan pada Disember 2025, katanya.

“Sementara itu, purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.89 seliter berbanding RM3.03 ​​seliter pada Disember 2025 (Januari 2025: RM3.06 seliter). Bagaimanapun, purata harga diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

“Harga pasaran purata RON95 naik kepada RM2.54 seliter (Disember 2025: RM2.62 seliter) berbanding harga subsidi RM1.99 seliter,” katanya.

Tiga negeri mencatatkan peningkatan melebihi paras inflasi negara (1.6 peratus) bulan lepas, iaitu Johor (2.1 peratus), Negeri Sembilan (2.0 peratus) dan Pahang (1.9 peratus).

Bagaimanapun, inflasi di negeri-negeri lain adalah di bawah dan sama dengan kadar kebangsaan, Kelantan mencatatkan inflasi terendah (0.3 peratus), kata Mohd Uzir.

Beliau berkata semua negeri merekodkan kadar inflasi lebih tinggi untuk makanan dan minuman kecuali Kelantan (-0.3 peratus), manakala empat negeri dan Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan berbanding inflasi makanan dan minuman kebangsaan (1.5 peratus) pada Januari 2026.

“Kenaikan tertinggi dicatatkan oleh Negeri Sembilan (3.2 peratus), diikuti oleh Pahang (2.6 peratus), Johor (2.5 peratus), Kuala Lumpur (2.0 peratus) dan Melaka (1.7 peratus), manakala negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah atau sama dengan inflasi kadar kebangsaan bagi makanan dan minuman,” katanya.

Bagi prestasi bulan ke bulan, DOSM berkata inflasi keseluruhan pada Januari 2026 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding 0.3 peratus pada Disember 2025.

Ia berkata kumpulan yang mencatatkan peningkatan berbanding bulan sebelumnya ialah penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.0 peratus), pendidikan (0.7 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.3 peratus), perkhidmatan restoran dan penginapan (0.3 peratus) serta rekreasi, sukan dan budaya (0.2 peratus).

Dalam pada itu, tiga kumpulan mencatatkan penurunan, iaitu pengangkutan (-0.4 peratus), perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (-0.1 peratus) dan maklumat dan komunikasi (-0.1 peratus).

Berbanding dengan negara-negara lain, kadar inflasi 1.6 peratus Malaysia bulan lepas adalah lebih rendah berbanding Indonesia (3.6 peratus), Vietnam (2.5 peratus) dan Korea Selatan (2.0 peratus), bagaimanapun lebih tinggi daripada Thailand (-0.7 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan