EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH KOSSAN RUBBER INDUSTRIES NAIK KE RM151.31 JUTA BAGI TAHUN KEWANGAN 2025

23/02/2026 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Untung bersih Kossan Rubber Industries Bhd melonjak kepada RM151.31 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, berbanding RM118.34 juta pada tahu sebelumnya.

Bagaimanapun, hasil syarikat merosot kepada RM1.75 bilion daripada RM1.92 bilion sebelumnya, terjejas oleh prestasi lebih lemah bahagian sarung tangan, produk getah teknikal (TRP) dan bilik bersih, menurut laporan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bahagian sarung tangan mencatat hasil RM1.46 bilion bagi tahun kewangan 2025, turun 8.89 peratus berbanding tahun kewangan 2024, terutamanya akibat henti pengeluaran selama 10 hari pada April susulan gangguan bekalan gas oleh Gas Malaysia akibat letupan paip di Putra Heights, selain pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Hasil bahagian TRP pula merosot 6.81 peratus kepada RM187.8 juta, manakala hasil bahagian bilik bersih menurun 10.70 peratus kepada RM102.2 juta, daripada RM114.5 juta sebelumnya, akibat gangguan pengeluaran, penghantaran lebih rendah, dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Bagi suku keempat 2025, untung bersih Kossan meningkat kepada RM46.67 juta daripada RM27.70 juta pada suku keempat 2024, manakala hasil merosot kepada RM439.48 juta daripada RM517.90 juta sebelumnya.

Bercakap mengenai prospek, syarikat memaklumkan walaupun menghadapi ketidaktentuan global, kumpulan terus melaksanakan program transformasi dengan fokus kepada automasi, penyelesaian digital dan pengoptimuman kos untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kos.

Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS mungkin memberi kesan jangka pendek terhadap hasil, tetapi mekanisme lindung nilai mata wang asing dan pengurusan kewangan berhemah kumpulan membantu mengurangkan impak tersebut.

Kossan memaklumkan bahagian TRP dijangka beroperasi dalam persekitaran mencabar pada 2026 berikutan ketidaktentuan pasaran dan tekanan kos berterusan.

Sektor infrastruktur dijangka mencatat pemulihan sederhana berbanding 2025, manakala sektor automotif dijangka terus menghadapi tekanan margin. Bahagian bilik bersih pula dijangka beroperasi dalam keadaan stabil pada tahun kewangan 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan