KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan mengukuh dalam jajaran RM4,000 setan hingga RM4,300 setan menjelang Mac 2026 selepas disokong oleh bekalan jangka pendek yang agak terhad selain peningkatan dalam permintaan India dan harga minyak kacang soya Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata bekalan kacang soya global yang stabil dan lonjakan eksport dalam minyak kacang soya China mungkin membataskan keuntungan.
“China menjadi pengeksport bersih minyak kacang soya buat kali pertama pada 2025 dan dijangka mengekalkan kedudukan ini pada 2026, dengan eksport diunjurkan sekitar 850,000 tan.
“India menyumbang hampir separuh daripada eksport minyak kacang soya China pada tahun lepas,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, MPOC berkata secara beransur-ansur, asas minyak sawit dijangka bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang.
Eksport Malaysia yang lebih mantap pada suku pertama dan muatan hadapan penghantaran Indonesia menjelang kenaikan levi eksport Mac diunjurkan akan mengurangkan inventori minyak sawit di kedua-dua negara tersebut.
Pengeluaran minyak sawit Malaysia berkurangan secara bermusim kepada 1.58 juta tan pada Januari, turun 13.8 peratus dari bulan ke bulan tetapi eksport mengukuh kepada 1.48 juta tan, naik 11.4 peratus daripada Disember 2025, menandakan volum eksport bulanan kedua tertinggi sejak 12 bulan lepas.
"Peningkatan eksport ini didorong terutamanya oleh lonjakan permintaan dari India dan Mesir, dengan penghantaran ke India mencapai paras tertinggi 15 bulan serta eksport ke Mesir menokok ke paras tertinggi dalam 13 bulan," katanya.
Dari segi permintaan, India dijangka beralih semula ke arah minyak sawit berikutan peningkatan daya saing harga sejak penghujung 2025, kata MPOC.
Penggunaan minyak sawit di India diramalkan meningkat sebanyak 800,000 tan pada 2026, manakala penggunaan minyak kacang soya dan bunga matahari dijangka menurun 400,000 tan metrik.
“Data Januari 2026 mencerminkan peralihan ini, dengan import minyak sawit India naik ke paras tertinggi empat bulan, manakala import minyak kacang soya jatuh ke paras terendah 11 bulan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial