EKONOMI > BERITA

PEMANFAATAN DATA TRANSAKSI PACU PERTUMBUHAN SETERUSNYA PMKS – PAYDIBS

02/03/2026 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Fasa pertumbuhan seterusnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bergantung kepada sejauh mana data transaksi dimanfaatkan secara strategik, menurut syarikat pembayaran digital Paydibs.

Ketua Pegawai Eksekutif Paydibs Tee Kean Kang berkata ketidakcekapan struktur dalam pengurusan aliran tunai, pembiayaan dan operasi bukan sahaja menjejaskan perniagaan individu, malah memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhan.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penerimaan digital berkembang pesat merentasi pelbagai sektor. Kod respons pantas (QR), pemindahan dalam talian serta pembayaran kad kini menjadi amalan biasa, termasuk dalam kalangan peniaga kecil.

“Namun, tahap penggunaan semata-mata tidak mencerminkan kematangan operasi sesebuah perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata walaupun pembayaran digital digunakan secara meluas, hanya 46 peratus PMKS di Malaysia telah mengguna pakai perisian kewangan dan perakaunan dalam talian.

Jurang ini menunjukkan banyak perniagaan menerima bayaran secara digital, namun masih mengurus proses seperti penyelarasan akaun, unjuran kewangan dan modal kerja secara berasingan serta manual.

Tee berkata jika data transaksi tidak disatukan, dianalisis dan dimanfaatkan secara berkesan, pemilik perniagaan sukar memperoleh gambaran jelas mengenai prestasi kewangan serta corak perniagaan mereka.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan keputusan berkaitan pengambilan pekerja, perolehan dan peluasan perniagaan sering dibuat secara berhati-hati serta berdasarkan naluri, bukannya analisis data. Dalam jangka panjang, pendekatan reaktif ini boleh mengekang pertumbuhan, mengurangkan keupayaan menyesuaikan diri serta melemahkan daya tahan syarikat terhadap ketidaktentuan pasaran.

“Data pembayaran yang distrukturkan dapat memberi gambaran lebih tepat kepada pemberi pinjaman mengenai kestabilan hasil dan konsistensi aliran tunai. Apabila dianalisis secara bertanggungjawab, kecerdasan transaksi membolehkan penilaian berasaskan prestasi yang lebih mencerminkan aktiviti sebenar perniagaan.

“Pendekatan ini berpotensi mempercepat proses kelulusan pembiayaan, mengurangkan kebergantungan terhadap cagaran serta memperluas akses pembiayaan kepada peniaga berdaya maju yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata masa depan ekosistem PMKS Malaysia tidak ditentukan oleh jumlah kod QR yang dipaparkan di kaunter pembayaran, sebaliknya oleh keupayaan perniagaan memanfaatkan data transaksi untuk menghasilkan analisis yang boleh menyokong keputusan strategik dan meningkatkan prestasi perniagaan.

Tee berkata apabila data transaksi berstruktur menyokong unjuran perniagaan yang lebih tepat, identiti kewangan yang lebih kukuh serta akses pembiayaan yang lebih adil, penggunaan digital akan beralih daripada sekadar kemudahan kepada pemerkasaan perniagaan.

“Peralihan daripada sekadar transaksi kepada transformasi ini penting bagi memastikan Malaysia mampu membina ekonomi digital yang bukan sahaja berdaya saing, malah benar-benar inklusif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan