KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) hari ini menjelaskan pihaknya telah melaksanakan hak kontraktual mengikut Perjanjian Akses 5G dengan mematuhi sepenuhnya syarat khusus mengenai penamatan awal serta keperluan yang berkaitan dengan model dwi-rangkaian 5G.
Syarikat telekomunikasi itu menegaskan notis penamatan itu adalah sah dan mengekalkan sepenuhnya segala haknya.
“Keputusan ini dibuat selepas analisis menyeluruh terhadap semua hak dan obligasi perundangan sebagaimana diperuntukkan dalam akses itu.
“Perjanjian akses itu turut memperuntukkan mekanisme bagi menyelesaikan sebarang perbezaan tafsiran antara pihak terbabit, dan TM akan mengambil langkah sewajarnya dengan peruntukan perjanjian itu,” menurut TM dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya keutamaan syarikat kekal untuk memastikan perkhidmatan kepada pelanggan tidak terganggu, sambil menguruskan peralihan ini secara berfasa dan teratur.
DNB dilaporkan telah menolak notis yang dikeluarkan TM untuk menamatkan perjanjian 5G, sambil menegaskan bahawa kontrak jangka panjang itu masih sah dan berkuat kuasa.
Menurut DNB perjanjian itu berkuat kuasa sehingga Oktober 2032 dan mengandungi syarat tertentu untuk menentukan bagaimana penamatan awal boleh dilaksanakan.
Oleh itu, DNB menjelaskan bahawa TM tidak menggunakan haknya untuk menamatkan kontrak lebih awal selaras dengan syarat yang telah ditetapkan.
DNB ditubuhkan pada Mac 2021 untuk memacu pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial