KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Subsidiari tidak langsung milik penuh Gadang Holdings Bhd, City Version Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan Tanahmas Kapital Sdn Bhd untuk memperoleh 4.52 hektar (11.18 ekar) tanah di Johor Bahru pada harga RM75.48 juta.
Gadang melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata cadangan pengambilalihan tanah pegangan bebas itu adalah selaras dengan matlamat syarikat untuk menambah dan mengembangkan bank tanahnya, khususnya di Johor, yang mana Gadang Land Sdn Bhd mempunyai kehadiran di Johor Bahru.
"Strategi kumpulan Gadang (ialah) untuk mengukuhkan perniagaan pembangunan hartanahnya," katanya.
Meluaskan bank tanah dan membangunkannya akan memberi manfaat kepada kumpulan itu.
Pengambilalihan tersebut akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. Perkadaran yang tepat akan ditentukan kemudian.
Gadang berkata harga belian itu dibuat atas dasar penjual dan pembeli rela merelai dengan mengambil kira prospek tanah berkenaan. Ia terletak secara strategik dalam perbandaran yang kukuh dengan sambungan yang sangat baik melalui lebuh raya utama selain disokong oleh kawasan tadahan kediaman yang matang serta kemudahan komersial yang mantap.
Penetapan harga juga mengambil kira potensi pembangunan bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar kira-kira RM800 juta, serta pemulihan pantas, kerana ia sudah pun mempunyai kelulusan pembangunan yang berkaitan.
Cadangan pembangunan itu dijangka mengambil masa tujuh tahun, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan dan keadaan pasaran semasa. Ia dijangka menyumbang secara positif kepada hasil serta pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pembangunan.
"Cadangan pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai apa-apa kesan material ke atas pendapatan sesaham Gadang bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.
"Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2026," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial