EKONOMI > BERITA

MALAYSIA MEMILIKI KETAHANAN STRUKTUR TERHADAP KEJUTAN LUARAN TETAPI TIDAK DAPAT MELINDUNGI DIRI SEPENUHNYA - PETRONAS

12/03/2026 10:37 AM

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia mempunyai tahap daya tahan struktur terhadap kejutan luaran yang timbul akibat konflik berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Syarikat minyak nasional itu berkata bagi negara ini, kesannya adalah nyata dan tidak mudah untuk dianalisis.

Sebagai pengeksport tenaga bersih, Malaysia menghasilkan kira-kira dua juta tong setara minyak sehari, dengan anggaran tiga perempat ialah gas dan satu perempat pula ialah minyak, katanya.

 “Bagaimanapun, Malaysia juga bersepadu dalam pasaran tenaga global, yang bermaksud gangguan berskala ini cepat menular melalui kos import, kadar penghantaran dan insurans, tekanan rantaian bekalan dan komitmen subsidi bahan api,” kata syarikat itu kepada Bernama di sini hari ini.

Petronas juga mengaktifkan pelbagai langkah kesinambungan yang konkrit, yang antara lainnya mengarahkan minyak mentah Malaysia ke kilang penapisan tempatan untuk memaksimumkan pengeluaran bahan api domestik.

Selain itu, ia telah mendapatkan sumber bekalan minyak mentah tambahan dari Afrika Barat dan Amerika Latin untuk mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana laluan perkapalan tunggal dan sedang menyiapkan kilang penapisan Petronas Refinery Chemical di Pengerang bagi membantu mengimbangi permintaan petrol dan bahan api jet sejurus bahan suapan minyak mentah tersedia.

“Petronas sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pemain industri lain untuk memantau perkembangan semasa dan melindungi keselamatan tenaga Malaysia.

“Perancangan berasaskan senario dan langkah-langkah kontingensi telah diaktifkan. Keutamaan adalah jelas: memastikan bekalan bahan api yang stabil dan mencukupi untuk Malaysia, walaupun keadaan global kekal tidak menentu dan tidak stabil,” kata syarikat itu.

Pada kadar penggunaan semasa, bekalan bahan api domestik dijamin tersedia sehingga akhir Mei 2026, dengan langkah-langkah mitigasi yang diselaraskan telah pun dilaksanakan untuk menyokong kesinambungan bekalan mulai Jun dan seterusnya.

Petronas turut berkata pendekatan Malaysia mengutamakan pemenuhan keperluan tenaga domestik terlebih dahulu, disokong oleh memaksimumkan pengeluaran minyak mentah tempatan sambil mempelbagaikan sumber minyak mentah, pengaturan logistik yang fleksibel dan penambahbaikan operasi kilang penapisan yang memberi tumpuan kepada bahan api penting seperti petrol, diesel, bahan api jet dan gas petroleum cecair (LPG).

Sehubungan itu, rakyat Malaysia — termasuk isi rumah dan perniagaan — digesa untuk mengelak sebarang pembelian panik atau menyorok bahan api dan pada masa yang sama menggunakan tenaga secara bertanggungjawab, mengurangkan penggunaan yang tidak penting dan menganggap penggunaan berhemat sebagai sumbangan praktikal terhadap daya tahan negara, katanya.

“Dalam tempoh ketidaktentuan global yang sebenar, penggunaan tenaga secara bertanggungjawab bukan perkara remeh. Ia adalah sebahagian daripada penyelesaian,” kata syarikat itu.

Petronas juga memberi jaminan pihaknya tidak memandang ringan situasi ini dengan langkah-langkah yang diambil mencerminkan penilaian sebenar terhadap risiko yang terlibat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan minyak Malaysia kekal terkawal walaupun konflik di Asia Barat berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global.

Beliau berkata bekalan produk-produk petroleum di negara ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.

Anwar juga berkata kerajaan sentiasa memantau perkembangan terkini dan berusaha untuk melindungi kepentingan rakyat Malaysia, memastikan kestabilan ekonomi negara dan menyokong segala usaha ke arah keamanan dan penyelesaian diplomatik terhadap konflik yang sedang berlaku.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan