Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Permintaan ketara serta penerimaan meluas terhadap produk kewangan patuh Syariah, akan terus mengembangkan perbankan Islam di Malaysia walaupun berdepan saingan sengit daripada sektor konvensional, kata ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun jumlah bank Islam dijangka meningkat, realitinya dalam usaha menjadi pengubah sebenar, bank-bank ini perlu menerimaguna serta melaksanakan konsep perkongsian risiko.
Ini memerlukan bank-bank Islam berkongsi risiko perniagaan dengan usahawan berbanding bergantung sepenuhnya terhadap struktur berteraskan hutang, katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Walaupun pertumbuhan perbankan Islam didorong terutamanya oleh bilangan masyarakat Muslim Islam yang besar, beliau berkata pengembangan itu juga sejajar dengan peningkatan permintaan yang ketara terhadap produk-produk perbankan Islam dalam kalangan bukan Islam.
Setakat akhir 2025, sebanyak 34.2 juta hingga 34.3 juta penduduk di Malaysia merangkumi masing-masing 63.5 peratus penduduk beragama Islam manakala 36.5 peratus bukan Islam.
Mohd Afzanizam berkata bahagian aset perbankan Islam yang berkembang pesat sejak beberapa tahun lepas, turut memaparkan peningkatan peranan sektor itu dalam sistem kewangan negara.
Jumlah aset perbankan Islam misalnya telah mencecah RM1.3 trilion yang mewakili 34.3 peratus setakat Januari 2026 berbanding RM152.9 bilion atau 13.7 peratus daripada aset perbankan pada 2007.
Dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan perkongsian risiko, beliau berkata kalangan penggubal dasar perlu menangani jurang sedia ada untuk membolehkan model perkongsian risiko berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam sistem perbankan Islam.
Kepentingan konsep perkongsian risiko bagi kewangan Islam
Di sebalik pertumbuhan yang menggalakkan, Mohd Afzanizam berkata bank-bank Islam juga perlu menumpukan strategi khusus masing-masing dengan mengukuhkan konsep perkongsian risiko yang dirujuk sebagai penanda aras kewangan Islam.
Satu kelebihan pembiayaan perkongsian risiko adalah menggalakkan aspek keusahawanan ketika bank berkongsi risiko dengan usahawan berbanding bergantung semata-mata kepada struktur berteraskan hutang.
Bagaimanapun, katanya, struktur pembiayaan bersandarkan hutang ini kekal dominan dalam sektor perbankan Islam.
“Setakat ini, pembiayaan berteraskan tawarruq terus menguasai perbankan Islam dengan menyumbang 65.2 peratus daripada jumlah pembiayaan aset dalam perbankan Islam setakat Januari 2026,” katanya.
Tawarruq merujuk kepada kontrak pembiayaan Islam yang mana seorang pelanggan membeli komoditi daripada bank menerusi kaedah bayaran tertangguh pada harga kos tambah keuntungan dan kemudiannya segera menjual komoditi berkenaan kepada pihak ketiga bagi mendapatkan kecairan atau mudah tunai.
Beliau berkata walaupun kontrak pembiayaan perkongsian risiko seperti musyarakah adalah selari dengan prinsip kewangan Islam, ini masih melibatkan beberapa cabaran struktur.
Ini termasuk struktur pembiayaan bank Islam yang banyak bergantung kepada deposit.
“Pendeposit misalnya memerlukan kepastian bagi pulangan pelaburan dan sebaliknya tidak dapat diberikan oleh instrumen pembiayaan perkongsian risiko, sekali gus mewujudkan ketidakpadanan,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata pembiayaan perkongsian risiko juga memerlukan lebih banyak modal bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.
“Keadaan ini sukar bagi bank-bank Islam kerana disifatkan sebagai perniagaan mewah kerana memerlukan modal lebih besar untuk melanjutkan konsep pembiayaan perkongsian risiko seperti musyarakah,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan isu ketidakseimbangan maklumat dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya dari segi penyimpanan rekod dan tadbir urus yang hanya menyukarkan pihak bank dalam membuat penilaian risiko.
Beliau berkata industri juga berdepan jurang bakat atau tenaga kerja berikutan pegawai perbankan yang lebih biasa dengan mekanisme penilaian kredit konvensional seperti pemarkahan kredit, penilaian cagaran dan nisbah keupayaan aliran tunai untuk membayar balik pembiayaan berbanding proses penelitian wajar berasaskan ekuiti serta model perkongsian perniagaan.
“Sehubungan itu, jurang kemahiran ini akan menghalang pertumbuhan konsep perkongsian risiko,” katanya.
Bank Islam, bank digital bukan pesaing langsung
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata kehadiran bank-bank konvensional menawarkan tetingkap atau peluang perbankan Islam dan bank digital tidak harus dilihat semata-mata sebagai saingan bagi bank-bank yang mengamalkan perbankan Islam sepenuhnya.
“Saya tidak melihatnya sebagai persaingan. Setiap bank mempunyai peranan masing-masing dan berkhidmat kepada segmen berbeza dan ini juga merupakan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
Kalangan bank juga dapat saling menimba pengetahuan, khususnya apabila bank-bank digital memperkenalkan pendekatan serta inovasi baharu.
“Pada akhirnya, penerima manfaat utama adalah pelanggan dan komuniti. Jika wujud persaingan sihat, kita dapat saling belajar dan meningkatkan kemahiran menerusi usaha ini,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, Ahmad Shahriman berkata perbankan Islam di Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding perbankan konvensional -- trend berterusan sepanjang 15 tahun lepas.
Namun, beliau menegaskan industri terbabit perlu terus membuktikan nilai kewangan Islam yang lebih meluas kepada masyarakat.
“Cabaran industri perbankan Islam adalah bagaimana untuk memastikan nilai perbankan Islam mampu kekal relevan kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Kekuatan pasaran modal Islam Malaysia
Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata pasaran modal Islam Malaysia telah mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam kewangan Islam global dengan Malaysia mengekalkan bahagian terbesar dalam pasaran sukuk dunia.
“Malaysia mempunyai pasaran sukuk terbesar iaitu merangkumi 36 peratus daripada bahagian pasaran pada akhir 2024. Sehubungan itu, statistik ini benar-benar menyerlah bagi kewangan Islam,” katanya.
Selain itu, Ahmad Shahriman pula menyifatkan pasaran modal Islam akan terus menarik aliran pelaburan yang berkembang, sekali gus memberi peluang untuk dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia bagi merebut dana-dana patuh Syariah antarabangsa.
“Pada masa sama, jumlah dana bagi pasaran modal Islam global juga meningkat.
“Oleh itu, kami juga perlu berusaha untuk membolehkan syarikat-syarikat tempatan mendapat akses kepada semua dana global yang berhasrat melabur dalam syarikat-syarikat Islam yang terkemuka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial