EKONOMI > BERITA

MALAYSIA, CHINA EKONOMI BERDAYA TAHAN DI ASIA KETIKA KETIDAKTENTUAN PASARAN TENAGA 

29/03/2026 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Malaysia dan China dilihat tampil sebagai ekonomi berdaya tahan di Asia dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran tenaga global yang semakin meningkat akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Dalam wawancara dengan Stesen Media CNBC baru-baru ini, Ketua JP Morgan bagi Asia merangkap Ketua Bersama Strategi Ekuiti Pasaran Pesat Membangun Global Rajiv Batra berkata, selain China dan Malaysia, kebanyakan ekonomi di rantau ini dilihat lebih terdedah kepada kejutan tenaga.

Beliau berkata kekuatan Malaysia terletak kepada profil eksport tenaga dan rangka kerja dasar yang berdisiplin, yang menyediakan penampan terhadap tekanan luaran.

"Defisit fiskal Malaysia terkawal dengan baik berikutan dasar kerajaan dan kadar inflasi yang tidak terlalu tinggi," katanya.

Menurutnya faktor-faktor ini membantu menyokong bukan sahaja pasaran ekuiti negara malah mata wangnya dalam keadaan tekanan luaran.

Sementara itu, Rajiv berkata China hanya bergantung kepada import sebanyak lima peratus sahaja daripada penjanaan elektriknya manakala sebahagian besar elektrik dijana dalam negara itu sendiri.

Selain itu, China mengekalkan rizab strategik yang besar dan mempunyai kemampuan untuk meningkatkan sumber tenaga alternatif termasuk arang batu dan tenaga boleh baharu sekiranya perlu.

Rajiv bagaimanapun berkata prospek ekonomi secara umumnya masih tidak menentu, dan sekiranya ketegangan geopolitik terus menjejaskan rantaian bekalan minyak dan gas, terutama melalui kerosakan infrastruktur dan kelewatan logistik, pertumbuhan global mungkin menghadapi tekanan. 

Bagi pasaran ekuiti, Rajiv berkata kesan yang cepat dijangka berlaku kepada sektor yang sensitif terhadap tenaga seperti barangan pengguna, utiliti dan industri hiliran.

Beliau bagaimanapun berkata jika situasi itu berlarutan, keadaan ini boleh mencetuskan impak meluas terhadap kewangan, teknologi, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan.

Rajiv berkata walaupun terdapat risiko-risiko ini, pasaran masih belum mengambil kira sepenuhnya kemungkinan situasi paling buruk, dan masih menganggap ekonomi akan terus bergerak perlahan walaupun mengalami cabaran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan