EKONOMI > BERITA

JEPUN SASAR PERLUAS PELABURAN DALAM SEKTOR DIGITAL, TEKNOLOGI TINGGI MALAYSIA

29/03/2026 04:44 PM

Oleh Christine Lim May Yu

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Jepun menyasarkan untuk memperluas pelaburannya dalam industri digital Malaysia yang merangkumi bidang khusus seperti produk cip berteknologi tinggi dan pusat data.

Penasihat Khas kepada Menteri bagi Rantau Asia-Pasifik di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) Masuo Kuremura berkata terdapat rancangan untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia bagi aplikasi baharu yang lebih maju menggunakan teknologi Jepun.

“Kami akan menggalakkan kerjasama antara syarikat Jepun dan Malaysia dengan memanfaatkan teknologi Jepun dalam industri digital untuk aplikasi dalam kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan sektor makanan untuk meningkatkan pelaburan,” katanya kepada Bernama pada acara Malaysia-Japan Fast Track Pitch di sini baru-baru ini.

Kuremura berkata pelaburan Jepun dalam sektor runcit di Malaysia juga dijangka meningkat pada 2026.

“Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan Jepun berdasarkan keupayaannya dalam pembuatan produk semikonduktor dan cip serta industri automotif.

“Sebagai contoh, kerjasama yang telah lama terjalin antara Perodua dan Daihatsu dalam sektor pembuatan yang membolehkan Malaysia menjadi pembekal yang baik dalam industri automotif,” katanya.

Kuremura menekankan bahawa syarikat Jepun berminat untuk terus menyediakan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran Malaysia dalam rantaian bekalan global sekali gus sebagai pembekal produk premium.

Beliau berkata antara pemain semikonduktor utama Jepun di Malaysia adalah Renesas Electronics, ROHM Co Ltd, Murata Manufacturing, Toshiba Corporation, Shin-Etsu Chemical dan Sumitomo Electric Industries yang menyokong ekosistem cip, terutama dalam komponen semikonduktor khusus.

Kuremura berkata Malaysia adalah destinasi pelaburan keempat terbesar Jepun di rantau ASEAN serta berperanan sebagai pangkalan utama bagi pelaburan semikonduktor di rantau ini.

“Singapura kekal sebagai destinasi pelaburan utama di ASEAN, didorong terutamanya oleh sektor kewangan manakala Thailand dan Indonesia masing-masing berada pada kedudukan kedua dan ketiga, dengan sebahagian besarnya tertumpu dalam sektor automotif,” katanya.

Kuremura berkata Jepun turut menyediakan platform sepadan untuk menggalakkan kerjasama pelaburan bagi syarikat baharu di Jepun dan ASEAN.

“Dalam rantau ASEAN, Jepun menyasarkan kerjasama terutama dalam empat tonggak iaitu meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, inovasi, digital dan peralihan tenaga.

“Jepun memainkan peranan besar di rantau ASEAN melalui projeknya Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), yang menggalakkan peralihan tenaga daripada bahan api fosil ke arah penyahkarbonan di Asia,” katanya.

Jepun adalah antara negara rakan kongsi AZEC yang merangkumi Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Satu lagi potensi pelaburan antara Jepun dan ASEAN adalah bekalan nadir bumi kritikal yang digunakan sebagai bahan termaju dalam industri automotif dan aeroangkasa.

Dalam bidang sumber pengkomputeran, Kuremura berkata Jepun bercadang untuk berkongsi teknologi yang dibangunkan di Kyushu, yang dikenali sebagai “Pulau Silikon” Jepun, untuk kegunaan syarikat di ASEAN.

“Pengeluar cip besar seperti Japan Advanced Semiconductor Manufacturing (JASM) dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) boleh menyediakan infrastruktur untuk memajukan AI dan pengkomputeran termaju di ASEAN.

“Syarikat dari Taiwan ini telah menjadi peneraju hab semikonduktor di Kyushu,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Jepun adalah antara tiga negara teratas bagi pelaburan langsung asing (FDI) pada suku keempat 2025, dengan merekodkan sebanyak RM103.8 bilion.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan