EKONOMI > BERITA

TELCO, PLATFORM DIGITAL MUNGKIN TERMASUK DALAM RANGKA KERJA PAMPASAN PENIPUAN DIGITAL PADA MASA DEPAN - BNM

31/03/2026 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) serta  platform digital, yang memainkan peranan penting dalam ekosistem digital, mungkin dimasukkan dalam rangka kerja pampasan mangsa penipuan digital di samping bank-bank dan institusi kewangan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini, kemasukan mereka dapat memperkukuh perlindungan pengguna serta memartabatkan skop kebertanggungjawaban untuk merangkumi semua pihak.

Menurut BNM pada artikel dalam laporan itu bertajuk “Penyelesaian bagi Penipuan: Memupuk Keyakinan Melalui Tanggungjawab Bersama,” pendekatan yang digunakan oleh negara lain, iaitu merangkumkan telco serta platform digital dalam rangka kerja pampasan mereka, juga wajar diberikan pertimbangan.

Memandangkan peri pentingnya peranan peserta ini dalam ekosistem digital, katanya peluasan penyertaan dalam pampasan penipuan dapat memperkukuh perlindungan pengguna, dengan kes penipuan digital semakin bertambah.

Di Malaysia, pelanggan mengalami kerugian yang mencecah RM2.8 bilion tahun lepas manakala pada 2024, kerugian yang ditanggung oleh pengguna akibat penipuan kewangan pada peringkat global dianggarkan kira-kira US$442 bilion.

Situasi ini menimbulkan persoalan penting, iaitu siapakah yang perlu bertanggung jawab dan menanggung kerugian tersebut sama ada institusi kewangan, pengguna atau haruskah tanggungjawab itu dikongsi secara lebih meluas merentas seluruh ekosistem digital.

Di Malaysia, BNM telah memperkenalkan rangka kerja pampasan pada 2024 melalui Policy Document on Ensuring Fair Treatment for Victims of Unauthorised e-Banking Transactions (SEFT).

Pada masa ini, dasar ini memberikan tumpuan pada transaksi tanpa kebenaran.

Menurut BNM, pihaknya juga akan mengkaji perlindungan yang lebih kukuh untuk pengguna yang mudah terjejas, termasuk menilai sama ada peluasan skop SEFT akan membantu menangani risiko yang dihadapi oleh golongan ini, dengan mengambil kira tahap celik kewangan digital serta landskap penipuan di Malaysia.

Di bawah prinsip tanggungjawab bersama, akan terdapat pampasan penuh jika kerugian akibat penipuan berpunca sepenuhnya daripada kelemahan kawalan keselamatan bank.

Bagaimanapun, bank pusat berkata pampasan tidak dijamin dalam semua kes.

“Pampasan separa boleh dibayar jika terdapat kecuaian pada pihak anda dan bank juga gagal bertindak pantas untuk menghentikan kerugian selanjutnya selepas percubaan penipuan pertama.

“Tiada pampasan jika bank telah memenuhi semua kewajipannya dan anda bersalah sepenuhnya (seperti muat turun aplikasi mudah alih yang berbahaya walaupun telah mendapat amaran), atau anda enggan bekerjasama dalam penyiasatan,” katanya.

Menurut BNM, dalam usaha melindungi diri daripada penipuan, pelanggan harus berhenti seketika sebelum bertindak semasa menjalankan urusan digital, semak sebelum klik, lindungi kata laluan dan melaporkan segera dengan menghubungi talian khusus bank atau Pusat Respons Penipuan Kebangsaan menerusi 997 untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan