EKONOMI > BERITA

AIRWALLEX PEROLEH KELULUSAN BNM BAGI E-WANG, LESEN KELAS A DI MALAYSIA

01/04/2026 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Platform kewangan dan pembayaran global terkemuka, Airwallex menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi penerbitan e-wang dan lesen Kelas A, yang akan menyediakan rangkaian lengkap perkhidmatan pembayaran di Malaysia.

Kelulusan ini dibina atas lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang Kelas B sedia ada Airwallex dan status Pemeroleh Peniaga Berdaftar, mencerminkan peningkatan kepercayaan kawal selia dan sokongan daripada bank pusat Malaysia. 

Menurut Airwallex dalam kenyataan, ini memperkasakan syarikat untuk berkembang dan berjaya merentas sempadan selain membolehkan perniagaan di seluruh dunia beroperasi dengan lebih lancar dalam pasaran ekonomi dinamik ini.

“Memegang kedua-dua kelulusan penerbitan e-wang dan lesen Kelas A mengukuhkan kedudukan Airwallex sebagai platform kewangan yang dikawal selia sepenuhnya untuk perniagaan di Malaysia.

“Ini membolehkan Airwallex menyampaikan infrastruktur kewangan yang menyeluruh — melangkaui pembayaran untuk menyokong akaun berbilang mata wang, pertukaran asing dan kes penggunaan perniagaan yang kompleks dalam satu platform tunggal dan bersepadu,” katanya.

Menurut Airwallex, pihaknya juga terus melabur pada peringkat tempatan, dengan memperluas pasukan di Malaysia sebanyak 66 peratus pada 2025 dan baru-baru ini, berpindah ke ruang pejabat baharu yang mampu menampung lebih 160 pekerja.

“Airwallex Malaysia merancang untuk menggandakan jumlah tenaga kerja pada 2026,” katanya.

Katanya pengembangan ini mencerminkan momentum perniagaan yang kukuh di pasaran Malaysia, dengan lebih RM2 bilion jumlah transaksi kiriman wang diproses pada 2025, didorong oleh peningkatan permintaan daripada perniagaan Malaysia yang beroperasi merentas sempadan.

Pengurus Besar Asia Pasifik Airwallex Arnold Chan berkata sebagai antara pemain bukan bank dengan tahap liputan kawal selia ini, syarikat berada pada kedudukan unik untuk menyokong perniagaan yang berkembang melangkaui sempadan.

“Daripada membantu syarikat mengurus kutipan pelbagai mata wang hingga membolehkan pembayaran keluar global yang lancar pada skala besar, kami menyediakan infrastruktur yang diperlukan perniagaan untuk beroperasi dengan lebih cekap dan dengan kawalan yang lebih baik.” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan