KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mengemukakan program nota jangka sederhana Islam (sukuk wakalah) dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Syarikat utiliti elektrik itu berkata program berkenaan mempunyai tempoh matang sehingga 50 tahun daripada tarikh terbitan pertama, dengan setiap sukuk yang diterbitkan di bawah program itu mempunyai tempoh antara satu hingga 50 tahun.
“Program ini memberi fleksibiliti kepada TNB untuk menerbitkan sukuk dari semasa ke semasa termasuk yang mematuhi garis panduan atau rangka kerja kemampanan dan berkaitan kemampanan.
“Program sukuk wakalah ini telah diberikan penarafan akhir AAA oleh RAM Rating Services Bhd,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut TNB hasil daripada penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal patuh syariah, pelaburan, tujuan korporat am dan keperluan modal kerja serta untuk membiayai semula pinjaman konvensional sedia ada dan kemudahan pembiayaan Islam.
"Hasil yang diperoleh daripada terbitan sukuk kemampanan juga akan digunakan untuk membiayai dan membiayai semula projek yang memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Pembiayaan Peralihan TNB.
"Program itu juga akan membolehkan TNB melaksanakan penerbitan sukuk berkaitan kemampanan dan kemampanan bagi menyokong laluan kemampanannya, dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050," katanya.
Menurut TNB program itu dijangka memberi fleksibiliti kepada syarikat dan anak syarikatnya dalam menentukan masa untuk mengumpulkan dana dan akses kepada kumpulan pelabur yang pelbagai di pasaran modal domestik.
CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd berperanan sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi program berkenaan manakala CIMB Islamic Bank Bhd dan Maybank Islamic Bhd sebagai penasihat syariah bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial