BELANJAWAN 2024 > BERITA

PERAK TERUS TEROKA INDUSTRI NADIR BUMI, HASIL ROYALTI RM30.88 JUTA SETAKAT INI - SAARANI

09/11/2024 06:59 PM

KUALA KANGSAR, 9 Nov (Bernama) -- Kerajaan Perak akan terus meneroka setiap potensi yang ada untuk memastikan negeri ini menjadi hab industri mineral negara, dengan setakat ini industri nadir bumi menyumbang pulangan hasil royalti mencecah RM30.88 juta kepada negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) telah mendirikan Terra Mineral Lab, sebuah makmal analisis mineral nadir bumi komersial pertama dalam negara sebagai pusat rujukan penting industri mineral yang membariskan pakar dan tenaga profesional tempatan.

Beliau berkata kerajaan negeri sepakat untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat tempatan bagi melaksanakan projek percubaan memproses hasil nadir bumi di Simpang Pulai.

"Syarikat itu telah berjaya memisahkan empat kumpulan unsur nadir bumi, yang menjadi komponen penting dalam rantaian industri berkenaan, seterusnya menonjolkan potensi Perak dalam penghasilan produk mineral yang bernilai tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan tahniah dan taat setia mewakili kerajaan dan rakyat pada Istiadat Kawalan Kehormatan Dan Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Serta Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Saarani berkata empat kumpulan unsur nadir bumi itu adalah Lanthanum Cerium (LaCe), Praseodymium Neodymium (PrNd), Samarium Europium Gadolinium (SEG) dan Heavy Rare Earth Element (HREE) dengan kesemuanya dipisahkan menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya.

“Kejayaan bersejarah ini menjadi suatu titik penting bagi Perak kerana berjaya menembusi teknologi memproses nadir bumi yang sejak sekian lama didominasi oleh negara China dan Australia, sekali gus melorong reputasi Perak untuk bersaing di peringkat global,” katanya.

Menurut Saarani, kejayaan itu diketahui selepas beliau bersama barisan pentadbiran serta pakar industri berkenaan meninjau tapak pemprosesan itu pada 5 Nov lepas.

Beliau berkata usaha kerajaan negeri merintis industri nadir bumi sebagai sumber kekayaan baharu itu secara tidak langsung semakin membuahkan kejayaan.

Sementara itu, Saarani berkata kedudukan kewangan negeri juga semakin mengukuh apabila menghampiri keluk terakhir tahun ini, kutipan hasil negeri setakat 1 Nov lepas sudah mencecah RM1.09 bilion, meningkat RM130 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata susulan prestasi memberangsangkan itu, kerajaan negeri dijangka dapat memadam unjuran defisit sebanyak RM67.5 juta dalam Belanjawan 2024, sekali gus akan sekali lagi merekodkan lebihan atau surplus untuk tiga tahun berturut-turut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan