DALANG UTAMA SINDIKET BAWA MASUK WARGA ASING MELALUI PINTU MASUK UDARA DIREMAN

22/09/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki disyaki dalang utama sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi 'Counter  Setting' direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Sept.  

Perintah reman terhadap suspek berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Mohd Sabri Ismail selepas mendengar permohonan dibuat pegawai SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Suspek dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA2, mengikut sumber.

“Suspek sebelum ini telah ditahan oleh SPRM Negeri Sembilan pada Rabu lepas dan direman pada Khamis sehingga 23 September 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Seremban. 

“Semalam suspek telah dibawa ke Pejabat SPRM Selangor bagi membantu siasatan kes yang turut disiasat oleh SPRM Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan