KONTRAKTOR KERUGIAN LEBIH RM460,000 TERPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

23/09/2024 12:51 PM

KUANTAN, 23 Sept (Bernama) -- Seorang kontraktor pembinaan kerugian lebih RM460,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud. 

Ketua Polis Pahang Dato’ Sri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 65 tahun itu berminat menyertai skim pelaburan saham selepas menerima pesanan iklan menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali awal September lepas. 

Beliau berkata pesara kerajaan itu telah dijanjikan pulangan lumayan iaitu sebanyak 20 peratus bagi setiap modal yang dilaburkan melalui laman web diberikan suspek. 

“Dalam tempoh 5 hingga 20 Sept, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM463,792 ke enam akaun diberi suspek.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah gagal menghubungi suspek dan tidak dapat mengeluarkan sebarang keuntungan. Sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa dan dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan