PENGARAH SYARIKAT WARGA BANGLADESH DITAHAN DISYAKI RASUAH PENGUAT KUASA

23/09/2024 07:58 PM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki terlibat dalam sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi Counter Setting

Menurut sumber, lelaki berumur 50-an itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang pada 8 malam semalam.

Sumber berkata lelaki berkenaan dipercayai menjadi ejen sindiket dengan memberi rasuah kepada pegawai peguat kuasa bagi membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi Counter Setting.

“Lelaki berkenaan dipercayai memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah,” katanya.

Selain ejen, sumber berkata lelaki berkenaan turut dipercayai bertindak sebagai orang tengah sejak 2022.

Lelaki terbabit kini direman selama dua hari hingga esok selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap lelaki itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan