POLIS SIASAT RUMAH AMAL BERKAITAN GISBH MENIPU UNTUK DAPATKAN SUMBANGAN

23/09/2024 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Polis menyiasat kemungkinan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menipu untuk mendapatkan derma orang ramai dengan mendakwa 572 kanak-kanak yang tinggal di rumah amal kendalian syarikat itu dan diselamatkan ketika Op Global, ialah anak yatim sedangkan mereka merupakan anak-anak ahli syarikat itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan juga mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah-rumah amal berkenaan diajar supaya mengatakan tidak mengenali ibu bapa mereka yang terdiri daripada ahli-ahli syarikat terbabit.

"Mereka tak akan cakap ini anak mereka, mereka akan dakwa ini anak yatim kerana ada antara mereka berbin dan berbinti Abdullah. Ia mungkin satu penipuan untuk mendapatkan sumbangan dan sumbangan ini digunakan dengan cara lain," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata kesalahan berkenaan boleh disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan oleh sebab itu juga, ada ahli-ahli syarikat terbabit yang disoal siasat tidak mengaku kanak-kanak berkenaan ialah anak mereka.

Razarudin berkata siasatan turut mendapati ada antara ahli yang mempunyai empat isteri dan 34 anak serta menempatkan anak-anaknya di rumah-rumah amal syarikat itu.

"Daripada 34 anak, hanya dua orang yang tinggal dengan dia. Kalau kita tanya nama 32 nama anak yang lain pun mungkin dia tak tahu," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata setakat ini, sebanyak 138 akaun berkaitan GISBH telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795.94 dan 15 lagi akaun telah ditutup.

Razarudin berkata selain itu, sebanyak 22 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 dan 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut dibekukan.

"Sebanyak 16 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM2,078,000 disita dan merampas 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak, serta wang tunai RM18,650," katanya.

Beliau berkata tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) manakala penyitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama.

Pada masa yang sama, Razarudin turut menafikan tanggapan negatif segelintir pihak yang mengatakan polis mengabaikan haiwan yang dirampas, sebaliknya Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama bagi memeriksa serta menjaga haiwan-haiwan berkenaan. 

“Sebelum perintah pelupusan diperoleh daripada mahkamah, polis ialah pihak yang bertanggungjawab menguruskan makan dan minum haiwan-haiwan yang dirampas,” katanya.

Mengulas mengenai Op Global fasa empat yang dilancarkan pada 21 Sept lepas, sebanyak 35 kertas siasatan dibuka dan 156 individu telah direman hingga 28 Sept ini melibatkan 80 lelaki dan 76 wanita berumur antara 18 hingga lebih 65 tahun.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kanak-Kanak 2021, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

"Sebanyak 187 mangsa berjaya diselamatkan pada fasa berkenaan terdiri daripada 100 lelaki dan 87 wanita termasuk 13 individu yang berusia lebih 18 tahun," katanya.

Razarudin berkata turut diselamatkan seorang kanak-kanak di sebuah rumah amal berkaitan dengan GISBH di Tapah, Perak dipercayai menjadi mangsa penderaan yang videonya dipijak tular melalui media sosial.

Selain itu, katanya polis turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan kepada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan