WARGA EMAS RUGI LEBIH RM100,000 DIPERDAYA ‘PEGAWAI POLIS PALSU’

24/09/2024 01:29 PM

KUANTAN, 24 Sept (Bernama) -- Seorang warga emas kerugian RM184,000 selepas terpedaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.

Ketua Polis Pahang Dato’ Sri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 75 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 8 Sept lepas yang menyatakan nombor akaun milik pesara berkenaan telah disalahgunakan untuk aktiviti penggubahan wang haram. 

Yahaya berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka satu akaun bank baharu dan menyuruhnya memindahkan semua wang ke dalam akaun itu, kononnya untuk semakan Bank Negara. 

“Mangsa telah memindahkan sebanyak RM184,000 dan maklumat perbankan turut diberikan kepada suspek. Mangsa turut dijanjikan akan dihubungi setelah semakan selesai dibuat.

“Bagaimanapun, mangsa gagal hubungi pihak berkenaan dan tersedar telah ditipu dan melaporkannya kepada Balai Polis Kuantan. Sumber wang kerugian ini adalah wang simpanan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan