PDRM MAHU KONGSI KEMAHIRAN DENGAN AGENSI PENGUAT KUASA LAIN

24/09/2024 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat berkongsi kepakaran yang dimiliki pasukan itu dengan agensi penguatkuasa lain menerusi pelbagai kursus yang boleh dianjurkan pada masa hadapan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata untuk tujuan itu, pihaknya juga berhasrat untuk meningkatkan kemahiran tenaga pengajar di maktab PDRM dengan sekurang-kurangnya mereka memiliki kelulusan peringkat ijazah sarjana muda.

Beliau berkata PDRM menjemput mana-mana agensi untuk mengikuti kursus dalam bidang-bidang yang merupakan kepakaran pihak polis di pusat latihan PDRM seperti simposium yang diadakan hari ini.

“Satu kajian perlu dilakukan supaya tenaga pengajar di maktab-maktab PDRM perlu sekurang-kurangnya memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas.

“Mereka akan diuruskan kenaikan pangkat secara fleksi contohnya jika masuk sebagai ASP mungkin dua tiga tahun dia akan dapat DSP disebabkan kelulusan dan kepakaran yang dimiliki,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) ke-5 2024 di Maktab PDRM, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.

Ketika ini terdapat dua maktab kendalian PDRM iaitu di Kuala Lumpur dan di Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Simposium tiga hari bermula hari ini dihadiri 300 peserta terdiri daripada pegawai kanan PDRM, pengamal undang-undang dan pakar bidang daripada jabatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

Selain itu, Razarudin berkata PDRM ketika ini melaksanakan penambahbaikan menerusi inovasi teknologi dengan memperkenalkan kaedah seperti pengujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan analisis digital, yang meningkatkan kredibiliti bahan bukti di mahkamah dan mempercepat proses penyiasatan. 

“Melalui penggunaan imbasan 3D dan profil DNA, analisis bahan bukti menjadi lebih tepat, menghasilkan laporan siasatan yang sukar untuk dicabar dan dipertikaikan. Kemajuan teknologi ini menyumbang dalam peningkatan keadilan dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan