BEKAS PEGAWAI KANAN POS MALAYSIA DIDENDA RM170,000 TERIMA RASUAH

24/09/2024 01:45 PM

MELAKA, 24 Sept (Bernama) -- Seorang bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad didenda RM170,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM133,000, empat tahun lepas.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazri Mokhtar, 45, dan memerintahkan tertuduh dipenjara 51 bulan jika gagal membayar denda.

Hazri didakwa gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) penerimaan secara rasuah wang berjumlah RM133,000 sebagai upah untuk membantu mempercepat bayaran oleh Pos Malaysia Berhad kepada Syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd bagi kerja-kerja outsourcing Linehaul dan Shuttle Services di Sabah dan Sarawak.

Kesalahan itu dilakukan di Bank Simpanan Nasional Melaka Main, Lot No. 779, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main No. 114 & 114A, Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara 8 Julai 2020 hingga 11 Okt 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyara isteri dan tiga anak berusia lapan hingga 20 tahun, selain telah dibuang kerja dan kini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainudin bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh agar ia menjadi pengajaran buat dirinya dan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan