BEKAS PENGASUH DIPENJARA 14 BULAN, PAKSA, SUAP ANAK ASUHAN MAKAN DENGAN KASAR

24/09/2024 04:00 PM

KAJANG, 24 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan ke atas seorang bekas pengasuh kerana mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lima bulan yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal, empat bulan lepas.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor A’in Ismail, 24, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu pada prosiding jatuh hukum hari ini.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan dikenakan bon berkelakuan baik dengan jaminan RM2,000 tanpa cagaran selama tiga tahun selain melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam selepas selesai menjalani hukuman,” kata hakim.

Sebaik keputusan dibacakan tertuduh yang berjubah hitam, dilihat menangis dan memeluk suaminya yang turut hadir di kamar mahkamah.

Pada 6 Jun lepas, Nor A'in mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak berusia setahun lima bulan di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini pada 4.15 petang 28 Mei, mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa ibu mangsa mengambil anaknya di taska berkenaan, seorang guru wanita di taska itu mengadu bahawa tertuduh dikenali sebagai ‘Anne’ telah memaksa serta menyuap kanak-kanak itu dengan cara kasar selepas mangsa enggan makan dengan turut menunjukkan rakaman video kejadian itu yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya.

Sebelum itu, bapa mangsa mendapati terdapat kesan luka kecil pada bahagian luar hidung anaknya menyebabkan ibu bapa mangsa telah pergi ke taska berkenaan untuk meminta pemiliknya memulangkan semula deposit yuran.

Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam S.Priyalatha mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda tanpa penjara kerana anak guamnya baru melahirkan anak perempuan yang kini berusia dua bulan dan anaknya itu mempunyai masalah jantung berlubang.

"Tertuduh yang kini suri rumah mempunyai kanser tiroid tahap dua dan menerima rawatan di Hospital Putrajaya serta Institut Kanser Negara.

“Semasa kejadian, tertuduh mengandung tujuh bulan dan ketika itu dia mengalami "mood swing". Tertuduh memohon maaf kepada keluarga mangsa serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” kata peguam itu

Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, pemilik dan pekerja yang terlibat dalam pengurusan taska.

Menurut Faelly, dalam kes itu mangsa ialah kanak-kanak yang tidak boleh berkata-kata dan melindungi diri sendiri, namun terdapat saksi mata melihat kejadian penderaan itu yang boleh mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal. 

“Sekiranya kanak-kanak tersebut adalah anak kita sendiri dan diperlakukan seperti itu di bawah penjagaan pengasuh yang telah diberikan kepercayaan untuk menjaga kanak-kanak tersebut, apakah perasaan kita sebagai ibu bapa dan apa hukuman yang sesuai diberikan?

“Mangsa dalam kes ini telah dihantar ke taska pengasuh untuk dijaga dan bukannya untuk diambil kesempatan dan didera oleh pengasuh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan