AM > BERITA

Sultan Selangor Titah Percepat Proses Tindakan Terhadap GISBH

24/09/2024 07:01 PM

SHAH ALAM, 24 Sept (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) dipercepatkan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara yang ditekankan oleh Sultan Selangor ketika sesi pertemuan mingguan hari ini, selain baginda berpandangan pasukan siasatan perlu lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan GISBH termasuk kes jenayah.

"Pada sesi pertemuan tadi, isu GISBH tidaklah dibincang secara spesifik namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Esok, Dr Mohammad Fahmi Ngah ( Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi) dijangka memberi beberapa penemuan mengenai perkara itu serta tindakan yang bakal diambil," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Dialog Belanjawan Selangor 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata sesi menghadap yang menjadi rutin mingguan itu turut membincangkan beberapa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan isu dan hala tuju negeri Selangor.

Difahamkan, sesi menghadap kira-kira dua jam itu berlangsung di Istana Bukit Kayangan di sini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menguatkuasakan larangan pengoperasian premis kepada GISBH selepas memperoleh laporan penuh daripada polis dan Jawatankuasa Agama Islam negeri.     

"Sudah tentu polis perlu menjalankan siasatan penuh dan menyerahkannya kepada kami (kerajaan negeri) bagi tindakan lanjut seperti tidak membenarkan mereka menggunakan premis di Selangor. 

“Namun, ia juga perlu berlandaskan fatwa dan peraturan daripada jawatankuasa agama yang akan bermesyuarat nanti. Ini bukan kali pertama kontroversi berlaku membabitkan mereka selepas kes Al-Arqam dan Rufaqa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan