AMBIL GAMBAR KENDERAAN DIUBAH SUAI DAN TULARKAN - KETUA POLIS KEDAH

24/09/2024 03:50 PM

SUNGAI PETANI, 24 Sept (Bernama) -- Polis meminta masyarakat di Kedah mengambil gambar dan menularkan di media sosial kenderaan yang diubah suai, sebagai usaha mengekang kes lumba haram dan aktiviti samseng jalanan atau ‘mat rempit’.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata aktiviti tidak bermoral berkenaan sudah lama berlaku dan penglibatan semua pihak diperlukan untuk menanganinya.

“Saya nak warga Kedah, sila ambil gambar jika nampak kenderaan sama ada kereta atau motosikal, malah basikal juga… jika motosikal diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi, tayar ‘sotong’, brek dibuang, karburetor dinaik taraf untuk merempit, ambil gambar… viralkan.

“Jika kenderaan ini berada di jalan raya… ambil gambar… polis akan mengesan mereka sehingga ke rumah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan di semua ibu pejabat polis daerah di Kedah, khususnya bahagian trafik dan jabatan lain yang berkenaan.

Fisol berkata kerjasama semua pihak khususnya masyarakat sangat penting, bagi memastikan aktiviti berkenaan ditangani sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini terutama kepada pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 330 item rampasan termasuk 242 ekzos, 77 lengan ayun, lima karburetor serta enam lain-lain item yang disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dilupuskan hari ini berdasarkan arahan pelupusan di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah.

“Keseluruhan bahan rampasan pada tahun ini berjumlah 1,412 item, namun pada 11 Julai lepas sebanyak 302 item telah dilupuskan, selepas mahkamah menjatuhkan hukuman dan mengeluarkan arahan pelupusan,” katanya.

Bagi kes narkotik pula, Fisol berkata bahan rampasan berjumlah RM2.9 juta membabitkan 2,826 kertas siasatan akan dilupuskan esok oleh sebuah syarikat yang dilantik di Negeri Sembilan. 

Beliau berkata pelupusan barangan rampasan bagi kes trafik dan narkotik berkenaan adalah bagi tempoh 2013 hingga 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan