MBS SITA BARANGAN PERNIAGAAN MILIK PREMIS BERKAITAN GISBH DI SEREMBAN 2

24/09/2024 06:23 PM

SEREMBAN, 24 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita beberapa barangan perniagaan restoran makanan yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), di Seremban 2 hari ini.

Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali berkata pemeriksaan yang dijalankan ke atas enam premis itu mendapati, kesemuanya tidak beroperasi dan hanya satu mempunyai lesen, empat tidak berlesen manakala satu lagi premis telah tamat tempoh lesen.

“Antara kesalahan lain, premis tersebut telah meletakkan kerusi dan meja makan di kaki lima awam iaitu merupakan tempat halangan di tempat awam. Selain itu, pemilik premis juga didapati mengubah suai premis tanpa kebenaran. Pemasangan bumbung sengkuap tanpa permit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Masri berkata susulan itu pihaknya mengeluarkan 24 notis kompaun, serta tindakan sitaan barangan perniagaan yang diletakkan di tempat awam.

Beliau berkata berdasarkan rekod sebelum ini, premis tidak berlesen tersebut pernah dikompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, dan syarikat berkenaan juga telah membuat permohonan lesen perniagaan namun ditolak kerana tidak memenuhi syarat seperti kesalahan ubah suai bangunan.

“Sementara itu, tujuh premis dipercayai milik GISBH yang beroperasi di Bandar Enstek, Nilai masih dalam pemantauan MBS.

“Setakat ini semua premis tersebut di Enstek berlesen, sekiranya kita menerima laporan pihak berkuasa berkaitan premis tersebut menggunakan kanak-kanak sebagai buruh kasar atau jenayah lain, kami akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar premis berkenaan di Seremban 2, mendapati satu daripada premis itu menampal laporan polis yang mendakwa premis mereka tiada kaitan dengan syarikat GISBH.

“Disebabkan syarikat kami mengunakan nama Ikhwan, sedikit sebanyak mendatangkan kesan terhadap perniagaan kerana masyarakat beranggapan semua kedai mengunakan nama Ikhwan adalah sama,” menurut laporan polis itu.

Sementara itu, seorang peniaga dikenali sebagai Ahmad yang ditemui berdekatan kawasan premis pula mendakwa, kesemua restoran makanan itu telah tidak beroperasi sejak seminggu lepas.

Seorang penduduk yang tinggal di taman perumahan berdekatan dikenali sebagai Atikah berkata kebanyakan pekerja restoran itu menginap di atas rumah kedai kawasan perniagaan berkenaan, namun kini tidak kelihatan setelah pembongkaran menerusi operasi Op Global oleh polis sejak dua minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan