AM > BERITA

Kerajaan Tegas Laksana Penyasaran Susbsidi Diesel Meskipun Dikritik - PM Anwar

26/09/2024 12:36 AM

KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Kerajaan perlu mengambil langkah yang praktikal termasuk penyasaran subsidi diesel walaupun menerima kritikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata penyasaran subsidi diesel telah berjaya meningkatkan keyakinan pelabur, kestabilan dalam pasaran saham dan memperkukuhkan pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal negara.

"Langkah ini telah memberi impak positif kepada pasaran setelah kita melaksanakan penyasaran subsidi diesel, harga diesel telah turun sebanyak 40 sen.

“Ini memberikan keyakinan kepada pelabur dan menunjukkan komitmen kita terhadap reformasi ekonomi yang lebih kukuh,” katanya pada majlis Forum Ilmuan Malaysia MADANI di sini hari ini.

Anwar turut menjelaskan bahawa pelaksanaan subsidi yang tidak disasarkan dengan betul akan membebankan kewangan negara, terutamanya apabila subsidi turut dinikmati oleh golongan kaya yang sepatutnya mampu membayar pada harga yang lebih tinggi.

“Orang kaya mampu membayar RM100,000 untuk pendidikan anak mereka di universiti-universiti swasta, tetapi tidak mampu membayar RM10,000 di universiti-universiti awam. Ini sesuatu yang perlu kita ubah. 

“Begitu juga di hospital-hospital kerajaan, apabila mereka (orang kaya) menikmati kemudahan kelas pertama dengan hanya membayar pada harga minimum,” jelas beliau.

Anwar turut membandingkan situasi ini dengan kegagalan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom, yang mana subsidi besar-besaran kepada semua lapisan masyarakat akhirnya menjadi tidak mampan.

“Malaysia memiliki asas percukaian yang paling rendah di Asia dan ini menjadi cabaran besar apabila kerajaan perlu membuat keputusan yang praktikal dalam melaksanakan reformasi, termasuk dalam aspek subsidi,” tambah Perdana Menteri.

—BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan