POLIS SIASAT DAKWAAN WANITA DIJADIKAN PELACUR OLEH ALONG DI PULAU PINANG

30/09/2024 03:08 PM

GEORGE TOWN, 30 Sept (Bernama) -- Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan seorang wanita dalam satu sesi audio siar di laman sosial TikTok yang dia dijadikan pelacur oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau 'along' di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata ketika ini polis sedang giat mengesan lokasi wanita itu yang mendakwa dia berada di negeri ini.

"Polis sudah mengambil maklum mengenai perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut  berhubung dakwaan itu termasuk mengesan kedudukan mangsa, cuma buat masa ini kita tak boleh dedah dengan lebih terperinci kes ini sebab siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi saksi pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Timur Laut dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Satu sesi audio siar berdurasi enam minit 45 saat tular di media sosial yang mendakwa seorang wanita berusia 26 tahun kini berada di Pulau Pinang dan dipaksa menjadi pelacur sejak Februari lepas setelah bapanya berhutang dengan along.

Dalam sesi itu, wanita terbabit menghubungi pengendali audio siar berkenaan ketika siaran langsung di TikTok dan mendakwa yang bapanya berhutang RM20,000 dengan along sebelum dia dijadikan pelacur oleh sindiket itu bagi membayar hutang.

Wanita itu turut mendakwa bapanya telah meletakkan nama ibunya dan mereka sekeluarga sebagai penjamin pinjaman serta dia bertindak menghubungi sesi audio siar itu bagi memohon pertolongan daripada individu di dalam podcast berkenaan untuk menyelamatkannya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang ACP Muhammad Halim Yatim menyerahkan jawatan itu kepada ACP Razlam Ab Hamid yang merupakan Ketua Polis Daerah IPD Timur Laut sebelum ini.

Muhamad Halim yang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 31 tahun bersara wajib dan kemudian Razlam menyerahkan jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut kepada Timbalannya Supt Lee Swee Sake yang akan memangku jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan