KES BURUH PAKSA: PENGURUSAN TERTINGGI GISBH ANTARA 24 INDIVIDU DIREMAN SEKALI LAGI

30/09/2024 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Seramai 24 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes buruh paksa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kesemua suspek termasuk isteri dan tiga anak kepada pengurusan tertinggi GISBH direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

“Mereka ditahan reman sekali lagi susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa di Cheras yang mendakwa dieksploitasi suspek ketika bekerja di syarikat berkenaan serta tidak menerima gaji,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebanyak 10 laporan telah dibuat oleh bekas pengikut GISBH yang mendakwa dijadikan 'buruh paksa' kumpulan itu susulan gesaan pihak polis agar mangsa tampil membantu siasatan.

Razarudin berkata mangsa terbabit berusia lingkungan 14 hingga 20-an manakala lokasi kejadian ialah Miri di Sarawak, Rawang di Selangor dan Alor Setar di Kedah antara 2013 hingga tahun ini.

Pada 19 Sept lepas, PDRM mengesahkan telah menahan barisan pemimpin GISBH termasuk anggota keluarga dalam serbuan di empat unit kediaman di Tower A, Berjaya Times Square 1, Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini pada 5.40 pagi.

Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap mereka.

Mahkamah sama pada 25 Sept lepas telah membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan penahanan 24 individu itu selama empat hari iaitu hingga 28 Sept.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Pindaan) 2022. 

PDRM melancarkan Op Global pada awal bulan ini dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Semasa serbuan itu, seramai  572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan