POLIS RAMPAS LEMBU, KARKAS BABI DISYAKI DISELUDUP DARI THAILAND

03/10/2024 05:20 PM

KOTA BHARU, 3 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu bernilai RM300,000 di Jalan Panglima Bayu dekat Tanah Merah dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada Selasa lepas.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan pada 3 petang selepas anggota yang mendapat maklumat berkaitan penyeludupan haiwan telah menahan sebuah treler dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap treler jenis Volvo itu menemukan sebanyak 20 ekor lembu daging di dalam kenderaan itu yang dipercayai diseludup dari Thailand. 

“Suspek seorang lelaki berumur 31 tahun telah ditahan dan dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kesemua haiwan itu ke pasaran tempatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 manakala barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, PGA turut menahan dua lelaki dan merampas 100 kilogram karkas babi bernilai lebih RM5,000 di Sekat Pintas PGA, Pos Mentua di Tumpat pada 5 pagi semalam.

Nik Ros Azhan berkata rampasan dilakukan apabila sepasukan anggota Batalion 9 menahan sebuah kereta pacuan empat roda yang dinaiki dua lelaki berumur 33 dan 36 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal menunjukkan dokumen berkaitan barangan yang dibawa dan disyaki diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

"Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan