PEMBANTU PERAIH IKAN DITEMUKAN MATI DI KUALA PERLIS

03/10/2024 08:07 PM

KANGAR, 3 Okt (Bernama) -- Seorang pembantu peraih ikan yang bekerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis ditemukan maut di sebuah rumah di Jalan Jeti Kampung Perak, Kuala Perlis dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop dalam kenyataan berkata petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Kuala Perlis yang tiba di lokasi kejadian pada 11.45 pagi mengesahkan Abdullah Rejab, 60, telah meninggal dunia.

"Hari ini seorang lelaki membuat aduan pada 11 pagi yang mengatakan jiran sebelah rumahnya tidak keluar rumah sejak tiga hari lepas dan berdasarkan maklumat tersebut, anggota polis dari Balai Polis Kuala Perlis ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. 

"Semasa tiba di lokasi, bantuan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis telah mengumpil pintu utama rumah tersebut dan mendapati Abdullah tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring di ruang tamu,” katanya.

Yusharifuddin berkata Abdullah yang telah berkahwin itu tinggal berseorangan dan tidak mempunyai rekod rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental.

Beliau berkata jiran memaklumkan Abdullah kerap ke Klinik Kesihatan Kuala Perlis kerana menghidap asma dan kali terakhir dia berbual dengan lelaki itu adalah pada Isnin lepas.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati pintu utama rumah berkunci dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) setakat ini dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat,” katanya yang turut memaklumkan lelaki itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan