APM TANGKAP ULAR SAWA BATIK MAKAN PULUHAN AYAM DALAM REBAN

03/10/2024 05:16 PM

JERTIH, 3 Okt (Bernama) -- Seekor ular sawa batik sepanjang lapan meter dengan berat kira-kira 100 kilogram yang berada di dalam sebuah reban ayam kampung organik di Kampung Pasir Kanan dekat Kampung Padang Bual, Hulu Besut di sini berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Mohd Fazlien Ja’far berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik reban berkenaan yang juga seorang pesara guru pada 8.48 pagi semalam.

Mohd Fazlien berkata pengadu mendakwa reptilia itu telah memakan sejumlah besar ayam miliknya.

“Empat anggota bergegas ke lokasi untuk menangkap ular itu dan setibanya di lokasi mereka mendapati ular berkenaan yang dianggarkan bersaiz paha individu dewasa sedang tidur di dalam reban.

“Ular itu kemungkinan tertidur kerana keletihan dan kekenyangan selepas menelan sebelum memuntahkan kembali lebih daripada 10 ekor ayam. Di sampingnya ditemukan banyak bangkai ayam,” katanya kepada Bernama di Pejabat APM Besut di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya hanya mengambil kira-kira lima minit untuk menangkap reptilia berkenaan sebelum dibawa pulang ke pejabat APM Besut.

“Ular itu antara yang terbesar ditangkap oleh kami setakat ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam masa terdekat bersama puluhan ular lain,” katanya.

Mohd Fazlien berkata sebanyak 97 ekor ular telah ditangkap pihaknya pada bulan lepas, meningkat daripada 63 ekor pada Ogos dengan jenis tedung senduk adalah yang tertinggi iaitu 60 peratus, diikuti ular sawa dan lain-lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan