CUBAAN CULIK MURID DARJAH LIMA DI KUALA PILAH PALSU

03/10/2024 10:37 PM

SEREMBAN, 3 Okt (Bernama) -- Dakwaan cubaan menculik seorang murid darjah lima berhampiran sebuah sekolah di Kuala Pilah seperti yang tular di laman sosial hari ini adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata siasatan lanjut pihaknya selepas menerima laporan daripada keluarga murid berkenaan pada 4.25 petang semalam, mendapati kejadian itu tidak benar.

“Ketika siasatan terhadap kanak-kanak tersebut, dia mengatakan dihampiri oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan pakaian serba hitam memandu kenderaan pelbagai guna (MPV). Dia juga mendakwa turut dipegang individu berkenaan sebelum berjaya melarikan diri.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati kanak-kanak lelaki tersebut mereka cerita tentang kejadian itu berikutan takut dimarahi bapanya kerana pulang berjalan kaki seorang diri ke pekan Kuala Pilah tanpa pengetahuan bapanya,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sehubungan itu, Amran menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan tidak benar di laman sosial yang boleh menyebabkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, tular satu catatan di laman sosial mengenai kejadian seorang pelajar sekolah rendah dikatakan cuba dibawa lari oleh individu tidak dikenali di hadapan pondok hentian bas berdekatan sebuah sekolah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan