PENJAGA RUMAH AMAL GISBH DITUDUH ESOK

03/10/2024 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) --  Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan didakwa esok atas tuduhan mendera kanak-kanak yang berada di bawah jagaan satu daripada rumah berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berusia 35 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 8.45 pagi.

"Kertas siasatan ke atas penjaga rumah amal itu dihantar ke pejabat Peguam Negara hari ini dan menerima arahan untuk pertuduhan," katanya ketika dihubungi.

Polis melancarkan Op Global awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan