KPDN SERBU PREMIS SOROK MINYAK MASAK DI BANDAR TROPICANA AMAN

24/10/2024 07:48 PM

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyerbu sebuah premis yang beroperasi di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang yang didapati menjual barang-barang kawalan seperti gula, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) selain barangan runcit lain, tanpa memilik lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dalam kenyataan hari ini berkata serbuan dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN Selangor Isnin lepas susulan video tular di media sosial berkaitan seorang peniaga yang dikatakan menyorok bekalan minyak masak.

Beliau berkata pasukan serbuan telah bertindak menyita kesemua barangan di premis itu bersama beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM630.90, dan kertas siasatan telah dibuka.

Azman turut memberi amaran agar pihak yang berurus niaga dengan barang-barang kawalan berjadual untuk sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa termasuk mendapatkan lesen borong atau runcit barang kawalan berjadual yang sah, serta tidak menyimpan atau menyorok bekalan barangan terbabit.

Beliau berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 sejak 1 Jan hingga semalam, bagi komoditi minyak masak 386 kes disiasat di seluruh negara dan daripada jumlah itu 512,109kg minyak masak bernilai RM2.79 juta telah berjaya dirampas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan