AHLI PERNIAGAAN BERSAMA DUA LELAKI VIETNAM DIDAKWA CULIK PEMAJU HARTANAH

04/11/2024 03:48 PM

JOHOR BAHRU, 4 Nov (Bernama) -- Tiga lelaki termasuk dua warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang pemaju hartanah dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta, bulan lepas. 

Chong Shih Ming, 46, seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim manakala Luong Van Tung, 39, dan Tran Van Chung, 29, tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu itu. 

Ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa meneruskan niat bersama menculik seorang ahli perniagaan lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta di Jalan Straits View di sini kira-kira 5 pagi, 13 Okt lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Hakim Che Wan Zaidi membenarkan Chong diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi serta mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, mahkamah tidak membenarkan Luong dan Tran diikat jamin serta menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes dengan pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Vietnam terhadap kedua-dua tertuduh itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya manakala peguam K. Veeranesh mewakili Chong sementara dua warga Vietnam terbabit tidak diwakili peguam. Turut hadir dalam prosiding itu ialah peguam pemerhati Fairoz Elyas Majeed dan Ng Kian Pin. 

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini seorang wanita warga Vietnam, Nguyen Ngoc Ngan, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melupuskan kereta Honda Accord 2.4L dengan niat hendak mengelakkan Chong daripada hukuman undang-undang.  

Ibu dua anak itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Jalan Keembong 39, Taman Johor Jaya di sini, kira-kira 3.30 petang, 24 Okt lepas dan dia dituduh mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Majistret A. Sharmini membenarkan Nguyen yang telah berkahwin bersama lelaki tempatan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa manakala peguam Goh Sze Han mewakili Nguyen.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan